Jelajah PTPTN Prihatin 22 kawasan Parlimen di Selangor - Utusan Malaysia

Jelajah PTPTN Prihatin 22 kawasan Parlimen di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA -Seramai 50 asnaf di setiap 22 kawasan Parlimen di Selangor menerima sumbangan barangan keperluan dapur daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam satu majlis di Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya, Puchong Indah di sini, baru-baru ini.

Selain itu, seramai 40 kanak-kanak daripada keluarga B40 di setiap 22 kawasan Parlimen itu juga menerima bantuan membuka akaun SSPN-i pada majlis tersebut.

Program ini merupakan sebahagian daripada Siri Jelajah PTPTN Prihatin yang diadakan di seluruh negara bertujuan menyantuni golongan kurang berkemampuan di samping memberi kesedaran kepada orang ramai tentang peranan serta tanggungjawab PTPTN membantu pendidikan anak-anak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Siri Jelajah ini juga merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat perbadanan itu yang mensasarkan golongan kurang berkemampuan di kawasan parlimen di seluruh negara.

Pada siri jelajah ini Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan turut menyampaikan sumbangan zakat PTPTN kepada penerima terpilih.

Yang turut hadir, Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rashid Asari.

Menurut Abdul Rashid, usaha itu merupakan satu langkah baik kerana bukan sahaja dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan tetapi pada masa sama dapat membuka ruang kepada PTPTN mendampingi masyarakat.

“Usaha sebegini membolehkan PTPTN turun padang untuk lebih dekat dengan masyarakat. Sebagai sebuah agensi yang memikul tanggungjawab besar dalam bidang pendidikan, usaha ini membolehkan PTPTN menyalurkan maklumat secara terus kepada golongan sasar,” ujar beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor merakamkan ucapan terima kasih kepada PTPTN kerana turut membawa program itu ke negeri ini.

Tambah beliau, dengan 22 Parlimen yang ada di negeri ini, sudah tentu ramai yang dapat dibantu oleh PTPTN melalui program tersebut.

Menurut beliau, untuk tahun ini seramai 1,100 asnaf dan 880 kanak-kanak daripada keluarga B40 di seluruh negeri menerima manfaat daripada program siri Jelajah PTPTN Prihatin ini.

“Saya yakin sumbangan ini sedikit sebanyak akan dapat membantu meringankan beban para penerima, apatah lagi ketika semua orang sibuk membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri nanti,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini