LABIS – Kedatangan Syawal tahun ini amat bermakna kepada lebih 300 keturunan Selong Idris yang dapat berkumpul meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama selepas empat tahun tertangguh.
Ab. Rahman Taib, 63, melahirkan rasa syukur kerana usahanya bersama-sama beberapa ahli keluarga lain mencari keturunan Selong iaitu datuknya tidak sia-sia dan dapat berkumpul dalam Majlis Sambutan Hari Keluarga Titian Kasih Keluarga Haji Selong Idris.
“Apa yang lebih mengembirakan, melalui majlis ini, kami turut mengetahui salasilah keturunan kami bermula generasi pertama iaitu Syed Fajar atau Tok Sijau yang berasal dari Yamen selatan sehingga generasi ke tujuh ketika ini.
“Walaupun generasi pertama hingga keempat sudah tiada, namun kehadiran generasi kelima hingga ketujuh pada hari ini dapat mengeratkan lagi ukuwah antara kami,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam majlis tersebut di Dewan Muafakat Pekan Air Panas di sini hari ini.
Katanya, ramai dalam kalangan mereka yang hadir tidak pernah bertemu serta mengenali antara satu sama lain sebelum ini dan kesempatan itu merupakan peluang terbaik merapatkan kembali hubungan persaudaraan mereka.
Sementara itu Bayah Selong, 90, merupakan satu-satunya generasi kelima keluarga Selong yang masih ada melahirkan rasa gembira kerana berpeluang bertemu dengan sanak saudara terutama yang tidak pernah ditemuinya sebelum ini.
Katanya yang menetap di Kuantan Pahang, dia begitu teruja untuk menghadiri majlis tersebut walaupun kudratnya tidak seperti dahulu dan terpaksa menggunakan kerusi roda.
Dalam pada itu Bayah mahu majlis tersebut dapat dijadikan acara tahunan mengumpulkan ahli keluarga dan berharap lebih ramai ahli keluarga dapat dikumpulkan pada tahun depan memandangkan terdapat ahli keluarga tidak dapat bersama-sama pada kali ini.
Dahlan Abdul Majid, 83, pula berharap majlis tersebut digunakan sebaik mungkin oleh ahli keluarga bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan persaudaraan, malah sebagai peluang bertukar pandangan dalam pelbagai bidang.
“Hakikatnya pertemuan seperti ini mampu membuka peluang dalam kalangan ahli keluarga dalam pelbagai bidang seperti kerjaya dan ekonomi.
“Semoga idea untuk mengumpulkan ahli keluarga besar ini akan memberi manfaat kepada semua dan menjadi titik tolak kepada keakraban dalam kalangan kami selamanya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











