JDT juara lebih awal? - Utusan Malaysia

JDT juara lebih awal?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) akan dinobat sebagai juara Liga Super lebih awal sekiranya mengalahkan Melaka United esok selepas pencabar rapat mereka, Pahang tumbang 2-5 kepada Selangor di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Kekalahan Tok Gajah itu bermakna mata maksimum yang mampu dikutip oleh anak-anak buah Dollah Salleh dalam baki lima perlawanan adalah 15, sedangkan Harimau Selatan bakal menjarakkan jurang kepada 16 mata andai meraih kemenangan di Stadium Hang Jebat.

Jika berjaya menumbangkan Melaka United, itu bermakna JDT bakal melakar satu lagi rekod dalam bola sepak tempatan dengan mempertahankan kejuaraan Liga Super buat musim keenam berturut-turut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, dalam aksi di Stadium Shah Alam, hatrik kedua Ifedayo Omosuyi musim ini membolehkan Red Giants meraih kemenangan yang amat diperlukan bagi mengejar kedudukan dua terbaik liga – slot untuk meraih tiket ke saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Tindakan berani Dollah menurunkan skuad kedua dalam kesebelasan utama nyata memakan diri apabila anak-anak buahnya gagal menandingi tuan rumah.

Skuad kendalian B. Sathianathan membuka jaringan pada ke-30 menerusi tandukan Khyril Muhymeen Zamri, sebelum penyerang dari Nigeria, Ifedayo menjadikan kedudukan 2-0 enam minit kemudian menerusi lambungan mengelirukan dan menambah gol ketiga pada minit ke-43.

Hanya seminit selepas babak kedua bersambung, giliran pemain tengah dari Brazil, Endrick dos Santos meledak gol keempat tuan rumah menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti.

Pahang bagaimanapun merapatkan jurang menerusi sepakan lencong R. Kogileswaran dari luar kotak penalti pada minit ke-68, disusuli tandukan Mohamadou Sumareh untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid buat kali kedua sembilan minit kemudian.

Ifedayo melengkapkan hatriknya pada minit ke-86 apabila mudah menolak masuk gol kelima tuan rumah mengatasi penjaga gol Pahang, Remezey Che Ros.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor kembali melonjak ke tangga ketiga liga dengan mengumpul 28 mata manakala Pahang kekal di kedudukan kedua dengan 30 mata. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini