PUTRAJAYA – Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi, yang meninggal dunia, semalam.
Saifuddin berkata, beliau terkejut dan sedih dengan pemergian mengejut Morsi.
Beliau berkata, Morsi merupakan Presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokratik berikutan revolusi Arab Spring pada 2011.
“Semasa pentadbirannya, Morsi telah menunjukkan usaha beliau untuk membawa Mesir keluar daripada pemerintahan autoritarian dan mewujudkan demokrasi di sana.
“Jasa Morsi terhadap keadilan dan demokrasi di Mesir akan diingati. Semoga Allah merahmati beliau dan mengurniakannya syurga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Morsi, 67, dilaporkan meninggal dunia ketika perbicaraan di mahkamah, semalam.
Menurut laporan media tempatan, Morsi rebah selepas penutup sesi perbicaraan dan meninggal dunia sejurus selepas itu.
Morsi dipilih secara demokratik pada 2012 yang menyaksikan berakhirnya pemerintahan 30 tahun Presiden Hosni Mubarak.
Beliau kemudian digulingkan selepas protes besar-besaran dan rampasan kuasa tentera pada Julai 2013. – UTUSAN ONLINE











