SHAH ALAM – Jemaah haji diingatkan tidak mudah menyebarkan berita dan ketidakpuasan hati terhadap pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) di media sosial sepanjang menunaikan ibadah itu.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, perkara itu hanya merumitkan keadaan dan tidak akan menyelesaikan masalah.
Titah baginda, setiap tahun perkhidmatan dan prasarana yang disediakan TH bertaraf dunia dan diiktiraf sebagai yang terbaik.
“Seharusnya jemaah haji bersyukur dengan adanya sebuah badan seperti Tabung Haji yang menjaga kebajikan jemaah haji negara
“Sekiranya ada sebarang kekurangan, berbincanglah dengan pegawai -pegawai TH secara baik,” titah baginda pada majlis penutupan kursus perdana haji peringkat negeri Selangor di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH, Datuk Seri Zukri Samat.
Baginda turut menitahkan supaya jemaah haji mengekalkan displin diri semasa berada di Mekah dan menjaga nama baik negeri Selangor dan Malaysia.
Sultan Sharafuddin menegaskan jemaah haji negara sebelum ini adalah antara jemaah yang berdisiplin dan patuh kepada peraturan-peraturan yang telah ditentukan oleh kerajaan Arab Saudi.
“Sepanjang berada di Tanah Suci, bersihkan niat dan gunakanlah sepenuh masa serta tenaga untuk melaksanakan amal ibadah agar beroleh haji yang mabrur.
“Jangan terlalu leka membuang masa dengan melakukan perkara tidak bermanfaat seperti berbual kosong, membeli-belah dan leka menggunakan telefon bimbit sebaliknya memperbanyakkan ibadat,” titahnya.
Sultan Sharafuddin turut menyeru jemaah haji saling tolong-menolong dan hormat-menghormati antara satu sama lain dan mengelakkan dari bertengkar, bergaduh dan melalukan perkara yang boleh menimbulkan kekecohan.
“Beta juga ingin menasihatkan jemaah haji menjaga menjaga kesihatan bermula dari sekarang dengan melakukan senaman ringan, rehat secukupnya serta mengikuti nasihat doktor dalam perjagaan kesihatan supaya kekal sihat
sebelum berlepas ke Tanah Suci,” titahnya.
Kursus haji selama dua hari bermula semalam itu disertai seramai 5,500 bakal jemaah haji dari Selangor yang dijangka mula berangkat ke Tanah Suci bermula 4 Julai depan. – K! ONLINE











