ANDAI penulis menjadi Perdana Menteri, setiap surau dan masjid seluruh negara diwajibkan untuk meneruskan program solat tarawih sepanjang tahun, bukan khusus untuk Ramadan sahaja.
Begitu juga dengan aktiviti tadarus al-Quran, waktu rehat tengah hari perlu diisi dengan aktiviti berkenaan. Ia bertujuan memastikan umat Islam di Malaysia memperoleh pahala berganda sepanjang tahun, sama seperti dinikmati dalam Ramadan.
Mungkin ramai yang membantah termasuk agamawan dan warganet. Penulis tidak perlu bimbang kerana ia adalah hak prerogatif sebagai Perdana Menteri.
Walau bagaimanapun, arahan ini sebenarnya bukan sahaja mustahil, malah ia juga berdosa kerana hanya Allah boleh mewartakan Ramadan sebagai bulan istimewa dengan janji pahala berganda.
Firman Allah dalam surah al-Qasas; 68 maksudnya: “Dan Tuhanmu mencipta apa yang dikehendaki- Nya (berlaku), dan Dialah juga yang memilih (antara makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan – seperti bulan, hari dan bumi); tidak layak serta tidak berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya.”
Ramadan amat istimewa, Allah mahu memberikan hamba-Nya pelbagai ganjaran dan bonus berganda secara percuma. Namun malangnya terdapat segelintir seperti sombong apabila seolah-olah seperti enggan menerimanya.
Memasuki Syawal, janganlah al-Quran dipandang sepi iaitu dikembalikan ke rak almari atau ‘uninstall’ daripada telefon bimbit. Hubungan dengan al-Quran perlu diteruskan sehingga bila-bila kerana ia adalah makanan rohani terbaik bagi jiwa manusia.
Cintai al-Quran hanya dalam Ramadan sahaja seumpama orang yang makan sebulan sahaja dalam setahun. Bolehkah begitu?
Tanpa makanan, badan jadi lemah. Rohani yang kosong tanpa al-Quran akan turut lesu iman dan takwa. Sekali gus pelbagai penyakit bawaan jiwa kotor akan membiak dan menjadi barah akhlak dalam diri serta masyarakat.
TANDA PUASA DITERIMA
Sebenarnya, rindu untuk terus beribadah seperti puasa sunat dan berdamping dengan al-Quran selepas Ramadan menjadi tanda ibadah Ramadan sebulan diterima Allah.
Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lata’if al-Ma’arif: “Kebiasaan puasa selepas puasa Ramadan menjadi tanda penerimaan puasa Ramadan kerana apabila Allah menerima amalan hamba-Nya, akan digerakkannya untuk beramal soleh.
Firman Allah ertinya: “Dan (sebaliknya) orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambah mereka dengan hidayah petunjuk serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.” (Muhammad: 17)
Kekalkan semangat cinta kepada al-Quran walaupun Ramadan sudah berlalu kerana belum tentu Ramadan akan datang milik kita.
Sementara itu, sudah menjadi kelaziman memasuki minggu akhir Ramadan dan permulaan Syawal, rangkaian televisyen menyiarkan cerita-cerita membawa mesej Islamik.
Bagus apabila dalam kebanyakan adegannya para pelakon bertudung litup, tetapi malangnya pada masa sama bersentuhan dan berpelukan iaitu aksi halal hanya untuk pasangan suami isteri.
Ops… Penulis terlupa, mereka sebenarnya berlakon sebagai suami isteri, ayah dan anak. Walau apa sekali alasan diberikan, kononnya untuk menyampai mesej suci, ia tetap haram. Matlamat tidak akan menghalalkan cara. Pihak berkuasa agama perlu melihat perkara ini. Lakonan bukan lesen besar untuk melakukan aksi haram!
Baru-baru ini pengalaman mengharungi kesesakan jalan raya luar biasa balik beraya ke kampung dan kembali ke ibu kota amat ‘menghiburkan’.
Sepanjang perjalanan itu dihiburkan dengan pelbagai genre lagu raya di setiap siaran radio. Hampir keseluruhan bait-bait lirik menceritakan kegembiraan kerana kononnya terlepas daripada beban berpuasa sepanjang Ramadan.
Minta maaf, penulis bukannya perasan warak, tetapi kita yang tidak akan terlepas daripada audit Allah seperti sombong kerana tidak mensyukuri ganjaran Allah pada Ramadan.
Sedangkan yang membebaskan kita daripada sambaran api neraka bukannya raya yang sehari tapi amalan puasa sebulan.
Penulis ingin berkongsi beberapa peristiwa untuk dimanfaatkan bersama.
Langsung tidak salah untuk berniaga pada awal Syawal terutama semasa waktu puncak perjalanan pulang perantau ke destinasi mencari rezeki. Namun asasnya tetap perlu dijaga iaitu jangan sesekali mengambil kesempatan mengaut keuntungan berganda.
Dalam perjalanan pulang, kami sekeluarga singgah di satu pekan di Negeri Sembilan yang terletak berhampiran sempadan Pahang. Pelanggannya ramai dan pemilik restoran mengingatkan bahawa hanya makanan tertentu sahaja boleh dipesan kerana tukang masak ‘import’ balik beraya ke negara mereka. Hanya nasi goreng kampung, nasi goreng ayam, sup dan tomyam ayam serta telur dadar sahaja. Maka, menu itulah yang dipesan.
Selepas hampir sejam, semua makanan dihidangkan. Nasi goreng kampung langsung tiada ‘lauk’, ikan bilisnya hanya empat ekor (yang dibelah dua – jadi dua ekor sahaja sebenarnya), daun bawang dan saderi diberi ‘extra’ mungkin sebagai ganti lauk. Sup ayamnya pula patut ditukar nama kepada air rebusan ayam yang ditabur sedikit garam. Alhamdulillah kami bersyukur kerana itu adalah rezeki Allah.
Dalam pada itu, selepas telefon bimbit menerima pelbagai ucapan Aidilfitri dan gambar keluarga berhari raya dalam WhatsApp, jiwa penulis terjentik dengan satu hantaran mengenai ‘Pengumuman Orang Hilang: Ramai orang didapati hilang dari masjid, surau dengan kali terakhir dilihat semasa solat sunat Aidilfitri.
Mohon bantuan mencari orang yang hilang itu. Jika anda termasuk dalam kalangan orang itu sila kembali untuk solat zuhur, asar, maghrib, isyak dan subuh. Terima kasih atas ingatan itu. Hanya Allah yang mampu membalasnya.











