MASUK sahaja waktu Maghrib malam 1 Syawal, suasana setempat berubah seolah-olah berada di zon perang. Bunyi mercun bola, mercun merdeka memecahkan keheningan malam. Kanak-kanak antara yang paling gembira bermain bunga api sambal bergelak ketawa sesama rakan sebaya. Begitulah meriahnya ketibaan Syawal sehingga segenap lapisan masyarakat bergembira atas nikmat bertemu Hari Raya Aidilfitri yang dinikmati sejak zaman berzaman.
Namun begitu di sebalik suasana gembira dan bersukaria, orang Islam diingatkan agar tidak lupa segala pendidikan Ramadan yang telah sebulan dilalui bersama. Usah kerana kesibukan berhari raya, ibadah solat mula terabai. Setiap Muslim diajak terus melestarikan tarbiyah Ramadan dengan berusaha untuk menunaikan solat apabila masuk waktunya. Jika berkesempatan elok juga dilakukan secara berjemaah agar terus menerus beroleh ganjaran berlipat kali ganda. Begitu juga solat-solat sunat yang biasa dilakukan semasa Ramadan elok diteruskan dari semasa ke semasa.
Keinginan untuk menginfakkan harta ke jalan Allah yang banyak dilakukan ketika Ramadan elok juga dipanjangkan ke bulan-bulan lain. Ini kerana sepanjang tahun ada sahaja golongan daif yang memerlukan sokongan dan bantuan. Contohnya rumah kebajikan, rumah anak yatim, madrasah dan lain-lain yang memerlukan sokongan kewangan sepanjang tahun. Realitinya ketika Ramadan, bantuan yang diterima melimpah ruah dan berlebih-lebihan tetapi tamat Ramadan golongan ini terpaksa merayu dan meminta simpati orang ramai.
Pada sudut yang lain, ibu bapa disaran mendidik anak-anak menabung untuk keperluan masa depan. Ini termasuklah menyimpan duit raya yang kemungkinan banyak diperoleh. Ibu bapa juga diharap tidak menggunakan duit raya anak-anak untuk kegunaan sendiri kecuali setelah dimaklumkan kepada mereka kerana mereka punya hak atas duit yang diterima. Anak-anak juga diingatkan jangan membazir menggunakannya untuk membeli mercun ataupun tujuan tidak berfaedah.
Dalam pada itu, setiap Muslimin diingatkan supaya tidak mencemarkan kesucian Syawal dengan kembali berbuat dosa dan maksiat. Usah kerana keseronokan meraikan Syawal, batas-batas pergaulan lelaki dan wanita yang ditetapkan syariat dilupakan. Sedarlah betapa setiap manusia tertakluk kepada hukum hakam agama sepanjang masa dan bukan hanya terhad di kala Ramadan.
Ambillah kesempatan cuti hari raya untuk berkunjung ke rumah sanak-saudara dan handai taulan bagi mempereratkan hubungan silaturahim. Kesempatan ini juga elok digunakan untuk saling memaafkan kesilapan dan keterlanjuran dalam pergaulan agar perasaan dendam tidak dibawa hingga ke mati. Golongan muda diajak turut sama memeriahkan budaya ziarah menziarahi dan tidak hanya berhari raya di alam maya dengan gajet dan rakan siber masing-masing. Untuk tujuan itu, ibu bapa hendaklah memainkan peranan menyemarakkan budaya mulia kunjung-mengunjung dengan membawa anak-anak bersama.
Terdapat juga tradisi masyarakat yang berziarah ke kuburan ibu bapa mahupun ahli keluarga yang telah meninggal dunia setiap kali Syawal menjelma. Secara umumnya ia tidak dilarang agama malah mampu mengingatkan setiap manusia bahawa suatu hari nanti mereka akan kembali juga kepada Pencipta-Nya.
Semoga Ramadan yang berakhir memberi seribu pengajaran buat Muslimin untuk terus berbakti kepada Ilahi. Jangan hanya beria-ia berbuat baik ketika Ramadan tetapi usai sahaja Ramadan ia tidak dilakukan lagi. Ikhlaskan niat me-lakukan sesuatu semata-mata kerana Allah dan tidak hanya terhad pada bulan atau hari tertentu yang mempunyai kelebihan berbanding yang lain.
DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.










