Jadi novelis di usia 63 tahun - Utusan Malaysia

Jadi novelis di usia 63 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Dorongan kuat khususnya daripada rakan ‘sebaya’ agar dia menghasilkan sebuah novel menyebabkan Nik Abd. Hamid Hamat membuang rasa malu untuk menulis secara serius ketika usianya sudah mencecah 63 tahun.

Bekas pengarah urusan sebuah syarikat pembinaan dan pembangunan yang juga seorang jurutera ini menerbitkan sendiri novel sulungnya berjudul Cinta Norazlin yang memaparkan kisah mengenai cinta yang tidak kesampaian.

Nik Abd. Hamid yang menggunakan nama pena Nik Hamid berkata, idea bermula setelah dia menulis secara santai dalam hantaran ‘Facebook’ mengenai kisahnya dengan teman wanita semasa di alam kampus lebih 40 tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada Februari lalu, saya mula bercerita mengenai bagaimana saya boleh tertinggal teman wanita di sebuah kompleks membeli belah selepas bertembung rakan lama yang mengajak saya menonton wayang filem Hindustan di lokasi lain.

“Rakan-rakan Facebook mendesak saya menyambung cerita sehinggalah menjadi 17 siri di bawah judul ‘Girlfriend di Kampus’ di Facebook, saya garap semula dan menambah plot untuk dijadikan novel, boleh dikatakan 60 peratus adalah berdasarkan kisah benar.

“Saya sengaja menggunakan ganti nama diri ‘saya’ dalam novel supaya lebih santai dan bersahaja malah saya rasa perkataan ‘saya’ sebenarnya lebih dekat dengan pembaca dan kadang kala menusuk kalbu berbanding ‘aku’ yang terlalu emosi,” katanya kepada Utusan Online di sini semalam.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran novel Cinta Norazlin oleh Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang juga merupakan rakan sekolej semasa menuntut di Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) yang kemudiannya dikenali sebagai Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.

Majlis pelancaran itu yang dihadiri lebih 60 tetamu juga ibarat perjumpaan semula pelajar lama UTM yang hadir memberi sokongan kepada Nik Abd. Hamid.

Antara rakannya yang turut hadir adalah Senator Datuk Hanafi Mamat; Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Sr. Azami Mohd Nor dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Sementara itu, Nik Abd. Hamid berkata, mesej besar yang ingin disampaikannya dalam novel itu adalah perlunya perasaan redha dengan ketentuan tuhan dan yakin apa yang hilang akan diganti dengan perkara yang lebih baik.

“Walaupun novel ini berlatar belakang dekad 1970-an namun kisah percintaan yang dipapar adalah sama dengan apa yang ditempuh golongan muda hari ini untuk diambil pengajaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini