KUALA LUMPUR – Pendirian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung keperluan menghantar pulang pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik perlu disokong oleh umat Islam dan rakyat negara ini.
Pandangan itu disuarakan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang turut beranggapan tindakan yang diambil Dr. Mahathir membuktikan sikapnya yang tidak tunduk kepada kehendak kezaliman dan penindasan di India.
Jelas beliau, pendirian Dr. Mahathir mempertahankan Zakir daripada dihantar pulang ke India perlu dihormati semua pihak.
“Pendirian Dr. Mahathir dalam isu ini amat dihormati. Ia membuktikan sikap beliau yang tidak tunduk kepada kehendak kezaliman dan penindasan di India. Umat Islam dan rakyat yang setia hendaklah berada di belakang Dr. Mahathir dalam isu ini,” katanya dalam akaun Facebook miliknya, hari ini.
Dr. Mahathir dalam satu program di Melaka, semalam dilaporkan berkata, Malaysia mempunyai hak untuk tidak mengekstradisi Zakir sekiranya beliau tidak akan diberikan keadilan sewajarnya.
Perdana Menteri menegaskan situasi tersebut sama seperti tindakan kerajaan Australia sebelum ini tidak menghantar pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar yang dijatuhkan hukuman mati mandatori pada 2015 atas tuduhan membunuh seorang model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Dalam pada itu, Mohd. Asri turut meluahkan kekecewaan terhadap sebahagian anggota masyarakat yang dilihat memihak kepada negara asal berbanding menyokong usaha yang dilakukan kerajaan.
“Apa yang menghairankan kita, ada sejumlah mereka yang sudah mendapat kerakyatan atau menjadi rakyat negara ini tapi tumpah setia mereka pada negara asal. Dalam isu Zakir, nyata kesetiaan mereka bukan kepada Malaysia sebaliknya kepada India,” katanya. – UTUSAN ONLINE











