KUALA LUMPUR – Isu yang membelenggu FGV Holdings Bhd. yang membabitkan penolakan empat resolusi oleh tiga pemegang saham utamanya boleh diselesaikan menerusi perbincangan dengan pihak-pihak yang berkaitan.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, Felda mungkin mempunyai sebab tersendiri untuk menolak resolusi berkenaan.
“Ia boleh diselesaikan, perkara ini berlaku semalam jadi kita akan lihat apa tindakan seterusnya yang akan diambil oleh pihak yang terlibat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Simposium Gas Malaysia di sini hari ini.
Semalam Mesyuarat Agung Tahunan FGV yang berlarutan sehingga lima jam gempar dengan tindakan tiga pemegang saham utama syarikat tersenarai itu menolak empat resolusi, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.
Tiga pemegang saham terbesar FGV iaitu Felda, Koperasi Permodalan Felda dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menolak empat resolusi termasuk tiga resolusi berkaitan pembayaran yuran kepada Lembaga Pengarah syarikat itu. -UTUSAN ONLINE











