KUALA LUMPUR – Institut Sukan Negara (ISN) akan memberi bantuan sokongan kepada sukan elektronik (E-Sports) selepas Majlis Sukan Negara (MSN) mengeluarkan pelan peranacangan untuk sukan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli berkata, bantuan yang akan diberikan lebih kepada kajian terhadap posisi badan serta otot atlet semasa beraksi atau menjalani latihan.
Katanya, segala teknik permainan adalah di luar bidang kuasa mereka kerana kebanyakan atlet E-Sport memiliki kemahiran tersendiri dan tidak memerlukan kepakaran daripada ISN.
“Mereka ini lebih kepada permainan video atau dalam bahasa lain aspek minda adalah keutamaan mereka. Kami akan melihat dari sudut ergonomik iaitu kesan serta impak kepada pemain jika mereka duduk terlalu lama serta kesan kepada otot.
“Perkara ini nampak mudah, tetapi, ada kesan jangka panjang khususnya dari segi otot-otot utama mereka, bagaimanapun, dari segi kemahiran, mereka akan tentukan sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Ahmad Faedzal memberitahu, buat masa sekarang, bantuan itu belum ada lagi dan pihaknya sedang menunggu keputusan daripada MSN untuk menentukan pelan perancangan bagi sukan itu.
“Sekiranya MSN bersetuju, kami akan berikan bantuan berdasarkan kepada keperluan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










