KUALA LUMPUR – Interaksi mesra Haziq Abdullah Abdul Aziz yang berbalas ciapan dalam laman Twitter dengan beberapa pimpinan tertinggi PKR disifatkan sebagai cerita lama sewaktu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong itu menyertai Mahasiswa Keadilan Malaysia.
Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, interaksi antara kepemimpinan tertinggi PKR dengan aktivis mahasiswa memang kerap berlaku ketika itu.
Katanya, Haziq Abdullah hanyalah seorang daripada aktivis yang menyertai gerakan tersebut bagi mendedahkan mahasiswa kepada dunia politik.
“Itu dululah. Masa itu Haziq (Abdullah) aktivis Mahasiswa Keadilan Malaysia. Waktu itu antara inisiatif parti adalah untuk mendampingi kelompok mahasiswa.
“Haziq hanyalah seorang daripada ramai mahasiswa yang sertainya. Interaksi antara pimpinan dengan kelompok mahasiswa memang berlaku. Sekarang sudah 2019. Daripada 2011 sudah lapan tahun berlalu, macam-macam sudah berlaku,” katanya kepada Utusan Online selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri akhbar Suara Keadilan di sini hari ini.
Penyebaran video intim melibatkan Haziq Abdullah dengan seorang individu didakwa mirip Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuka ruang persoalan sejauh mana hubungan di antara Haziq Abdullah dengan pemimpin-pemimpin PKR yang lain sebelum ini.
Ia apabila tular dalam media sosial tangkap layar berlaku interaksi Haziq Abdullah yang berbalas ciapan Twitter antaranya bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli malah dengan Mohamed Azmin sendiri. – UTUSAN ONLINE











