KUALA TERENGGANU 11 Jun – Hasrat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk menggunakan khidmat pemain pertahanan import baharu Terengganu FC (TFC) terencat kerana Luis Gustavo Camilo berdepan masalah sijil perpindahan antarabangsa (ITC).
Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, situasi itu berkemungkinan besar akan menyebabkan skuad Penyu menempuhi dua perlawanan Liga Super menentang Melaka United pada Sabtu ini dan Perak pada Selasa depan tanpa Camillo sehingga jawapan mengenai ITC diterima pihak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Segala dokumen telah disempurnakan dalam prosedur perpindahan pemain antara negara dan sebaik sahaja ITC diterima dia akan diterbangkan terus ke Malaysia untuk menyertai pasukan.
“Kini beliau masih bersama kelabnya menjalani latihan serta menguruskan penyediaan datang ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Camilo merupakan satu-satunya pemain import yang ditandatangani TFC bagi menggantikan pemain kelahiran Serbia, Igor Zonjic yang telah digugurkan pada jendela perpindahan pertengahan musim ini pada akhir bulan lalu.
Bagaimanapun, Tengku Farouk Hussin berkata, langkah susulan telah diambil untuk memastikan persiapan TFC sentiasa di tahap terbaik dengan pihak pengurusan dan kejurulatihan pasukan bersetuju mengambil langkah drastik untuk memanfaatkan sepenuhnya sistem ‘Feeder Club’ iaitu menggunakan kesemua pemain sama ada tempatan atau asing.
“Peranan ‘Feeder Club’ dilihat berfungsi baik apabila pada awal musim pemain yang berjaya membarisi pasukan TFC ‘Parent Club’ iaitu Shahrin Sapien, Muhamad Fauzi, Muhamad Haidir Suhaini, Izzan Syahmi Mustafa dan terbaharu selepas pasukan dikendalikan oleh Nafuzi Zain, dua orang lagi pemain dipanggil iaitu Muhamad Hafizal dan Abdul Shukor Jusoh,” katanya.
Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih TFC, Mohd. Nik berkata, ketiadaan Camilo tidak mencemaskan skuad Penyu sebaliknya beliau percaya keampuhan benteng pertahanan pasukan tidak akan terjejas teruk biar pun tanpa dikemudi pemain import.
Katanya, barisan kejurulatihan menaruh kepercayaan penuh terhadap gandingan pemain tempatan untuk mengawal kubu TFC I daripada dibocori pemain Melaka United pada aksi di Stadium Hang Jebat.
“Mereka (pemain pertahanan tempatan) telah membuktikan kemampuan pada aksi terakhir menentang Selangor sebelum ini walaupun benteng pertahanan pada masa itu hanya dibarisi pemain tempatan sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE
habis











