IKS: Pemasaran digital mengecewakan - Utusan Malaysia

IKS: Pemasaran digital mengecewakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memang menjadi perkara biasa bila ada pemilik perniagaan bersaiz kecil dan sederhana merungut tentang strategi pemasaran digital mereka yang ‘kurang’ menampakkan kesan terutamanya kepada jualan walaupun ber­bu­lan-bulan cubaan untuk menjayakannya.

Mengapa?

n Harapan yang terlalu menggunung.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apa yang mereka harapkan jauh lebih tinggi berbanding yang mereka sanggup lakukan lebih-lebih lagi daripada aspek kewangan. Ini realiti yang boleh dijadikan contoh yang baik, menggunakan ‘kepakaran’ para pelajar latihan industri atau intern untuk mentadbir pemasaran media sosial syarikat anda.

Ya benar, mereka generasi yang gemar bersosial di platform seperti Instagram, LinkedIn, Twitter dan Facebook tetapi ini tidak bermakna mereka faham bagaimana untuk menggunakan platform media sosial ini untuk memasarkan jenama anda secara profesional.

n Jalan pintas.

Anda hanya membayar para pelajar latihan industri tadi ataupun seorang dua freelancer di luar sana sebanyak RM500 sebulan, tetapi mengharapkan pulangan jualan berjuta-juta ringgit setahun. Nampak tak? Ini sesuatu yang tidak masuk akal langsung.

Dalam dunia pemasaran di­gital, tiada jalan pintas untuk berjaya. Inginkan keuntungan besar tetapi tidak mahu melabur meru­pakan satu strategi yang sia-sia.

n Pemasaran perlukan pelaburan.

Bayaran untuk mendapatkan perkhidmatan pemasaran digital adalah perlu sekiranya anda tidak mempunyai pasukan sendiri. Sekiranya tidak bersedia untuk perbelanjaan ini, anda boleh me­lakukan sendiri untuk memasarkan jenama anda. Dalam masa yang sama, anda perlu faham terdapat juga beberapa pelaburan lain yang perlu dikeluarkan selain peruntukan untuk bayaran perkhidmatan tadi.

Iklan berbayar di media sosial, iklan di Google, kempen oleh individu-individu berpengaruh atau influencer dan sebagainya perlu juga diambil perhatian. Pemasaran secara umumnya amat memerlukan pelaburan.

n Terlalu menjadi bos.

Ini juga satu realiti. Pasukan pemasaran anda tidak boleh ‘bergerak’ secara kreatif dan berkesan kerana semuanya anda ingin tentukan sama ada boleh ataupun tidak. Anda terlalu mahu mengambil keputusan dalam semua perkara kecil, terlalu dictating dan ini sangat menjengkelkan. Nampak­nya anda tidak bersedia untuk lebih percayakan pasukan pemasaran sendiri untuk membuat keputusan.

n Ingin meniru strategi jenama lain.

Bagaimana anda ingin meniru strategi pemasaran digital jenama pesaing anda sedangkan si­tu­asi di sana jauh berbeza de­ngan anda. Mereka mempunyai pasukan pemasaran yang besar dan peruntukan kewangan yang jauh lebih dahsyat daripada anda, tetapi anda masih berkeras mahukan pendekatan yang sama.

Mereka menggunakan sele­b­riti untuk kempen-kempen pemasaran dan anda juga mahukan selebriti yang setaraf tetapi tidak mampu untuk membayarnya. Mereka menggunakan video yang beresolusi tinggi untuk produk, anda juga mahukan yang sama. Akhirnya anda terpaksa menggunakan jalan pintas bagi mencapai apa yang dihajati. Apabila ini berlaku, bukan sahaja kualiti yang dihasilkan akan gagal, ini juga bakal mengundang padah terutamanya daripada aspek survi­val syarikat anda sendiri dalam jangka masa panjang.

n Pemasaran adalah jualan.

Kesalahan terbesar yang sering berada ke pemikiran usahawan IKS ialah dengan melihat pemasaran sebagai satu cabang untuk mendapatkan jualan secara langsung. Ini sama sekali tidak benar. Fungsi utama pemasaran ialah mendapatkan perhatian pengguna tentang sesuatu jenama, membuatkan jenama itu berada dalam ingatan mereka selama mungkin terutamanya apabila mereka ingin membeli sesuatu produk yang jenama tadi tawarkan di pasaran.

Jualan pula berbeza. Fung­si­nya ialah untuk mengajak pengguna membeli secara langsung dan strategi yang digunakan lebih berjangka pendek. Pema­saran pula mengajak pengguna membeli secara tidak langsung, sebab itu prosesnya jauh lebih kompleks dan berjangka panjang. Proses pemasaran adalah seperti berikut;

Perhatian > Interaksi > Cuba > Beli > Rekomen/Cadangkan > Ulang Beli.

n Tidak sabar.

Lihat bagaimana hebatnya jenama-jenama seperti Coca-Cola, Hard Rock, IKEA dan Air­Asia. Agak-agak anda, berapa lama jenama mereka kukuh di pasaran? Sudah semestinya bukan 2 hingga 3 bulan atau 1 hingga 2 tahun. Ia mengambil masa bertahun-tahun. Pemasaran adalah satu proses yang berte­rusan, seolah-olah ia satu larian maraton. Ia perlu dilakukan secara konsisten, berterusan dan hasilnya akan didapati dalam jangka masa yang sangat lama.

Ingat. Bukan senang untuk memastikan setiap para pengguna di luar sana untuk mengingati jenama anda ketika mereka ingin membeli produk atau perkhid­matan yang anda ditawarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini