Ikon baharu industri tenusu di Terengganu - Utusan Malaysia

Ikon baharu industri tenusu di Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG – Pembukaan kilang pemprosesan susu kambing segar berteknologi tinggi (UHT) pertama di negara ini berpusat di Akademi Pengembangan Veterinar Terengganu di Kampung Jenang di sini awal Julai depan bakal menjadi ikon baharu dalam industri berasaskan tenusu di negeri ini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu (JPVT), Dr. Mohd.Termizi Ghazali menaruh keyakinan tinggi bahawa pusat yang diuruskan oleh Syarikat Tenox Agrobusiness (M) Sdn. Bhd. itu juga mampu menjana ekonomi 125 orang penternak kambing tenusu berdaftar di negeri ini.

Ini kerana katanya, bidang penternakan kambing tenusu lebih mudah berbanding lembu manakala pendapatannya pula agak lumayan di mana boleh mencecah sehingga RM4,800 sebulan sekiranya seorang penternak mempunyai sebanyak 20 ekor kambing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bayangkan kalau seseorang penternak itu memiliki 20 ekor kambing dan mampu menghasilkan 20 liter susu sehari, sudah tentu hasil pendapatannya agak lumayan. Inilah yang kita harapkan melalui

pembukaan pusat pemprosesan susu kambing segar di Kampung Jenang ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis Doa Selamat sempena pra pembukaan Kilang Tenox Agrobusiness (M) Sdn. Bhd., di sini petang semalam.

Yang hadir sama Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Muhammad Harriz Nordin.

Dalam majlis itu, Dr. Mohd. Termizi dibawa melawat serta melihat mesin baharu berharga RM700,000 yang telah siap dipasang di kilang berkenaan.

Menurut beliau, idea mewujudkan pusat pengeluaran susu kambing segar sudah bermula sejak tahun 2016 dan setelah beberapa perbincangan diadakan dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, para penternak dan juga Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), akhirnya JPVT memberi mandat kepada syarikat Tenox Agrobusiness bagi merealisasikan tanggungjawab tersebut.

Beliau memberitahu, gandingan kerjasama yang diadakan itu adalah bagi memastikan usaha tersebut menjadi lebih produktif selain mampu memberi faedah bersama termasuk kepada para penternak secara konvensional yang ada di negeri ini.

“Dengan adanya pusat pemprosesan ini, ia akan menjadi ikutan kepada semua penternak untuk lebih produktif menjalankan aktiviti di bidang ini. Sehingga ini mesin baharu yang siap sepenuhnya dipasang telah melalui beberapa prosedur dan ujian termasuk dari segi keselamatan.

“Selama ini kebanyakan penternak di kampung-kampung hanya memproses susu secara manual menyebabkan banyak aspek seperti kebersihan dan kualiti terabai. Ini menyebabkan produk tidak dapat dipasarkan ke luar dan hanya berlegar di kawasan setempat sahaja,” jelasnya.

Dr. Mohd. Termizi memberitahu, apa yang menarik pengeluaran produk tenusudi pusat ini adalah berasaskan teknik pemanasan susu dalam suhu tinggi (UHT) yang dapat bertahan untuk tempoh tiga bulan, sebelum operasinya dikembangkan kepada produk pempasteuran. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini