KUALA SELANGOR – Walaupun telah 42 hari hilang, seorang ibu masih menaruh harapan anaknya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) ditemui sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.
Siti Aminah Jakon, 52, berkata, dia sememangnya rindu terhadap Muhammad Amirul Izawan Mohd. Isa yang hilang ketika keluar dari rumah sejak 21 April lalu.
Katanya, pada masa sama dia risau akan keselamatan anaknya yang dikategorikan OKU lembam susulan tidak membawa sebarang dokumen semasa dilaporkan hilang itu.
“Hati ibu mana tidak resah apabila anak hilang tanpa khabar berita.
“Sudah pasti, saya berharap Muhammad Amirul berjaya ditemui sebelum Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di rumahnya di Kampung Permatang di sini hari ini.
Muhammad Amirul dilaporkan hilang pukul 9 malam pada 21 April lalu apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar menaiki motosikal jenis Honda Wave 110.
Menurut Siti Aminah, tiada persiapan Aidilfitri dilakukannya pada tahun ini berikutan ‘hilang serinya’ selepas kehilangan anak sulung daripada lima beradik itu.
Ujarnya, hasratnya bagi menghadiahkan sehelai baju T berwarna kuning yang merupakan warna kegemarannya sebagai pakaian harian sambutan Aidilfitri juga tidak kesampaian sehingga kini.
“Bagaimana hendak menyambut Aidilfitri dengan tenang sekiranya nasib Muhammad Amirul sehingga kini belum diketahui.
“Kami telah cuba mencarinya sejak kehilangannya 42 hari lalu termasuk membuat laporan polis namun belum menemui sebarang petunjuk positif,” katanya.
Jelas wanita tersebut, salah seorang anak perempuannya berusia 23 tahun pernah bermimpi Muhammad Amirul pada dua minggu selepas dilaporkan hilang itu.
“Dalam mimpi itu, anak perempuan saya menyatakan bertemu abangnya berpakaian putih dan hanya tersenyum seolah-olah menggambarkan Muhammad Amirul telah meninggal dunia.
“Saya tidak mahu memikirkannya sangat sebaliknya berdoa sepanjang hari semoga dia ditemui dengan selamat,” katanya.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Muhammad Amirul boleh menghubungi Siti Aminah di talian 017-2131 931 atau 018-2810 256.
Kosmo! Online pada 3 Mei lalu pernah melaporkan kehilangan Muhammad Amirul dan tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri pada dirinya. – K! ONLINE











