PUTRAJAYA – Bekas Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Ibrahim Abdullah dilantik sebagai wakil khas Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk proses damai di Selatan Filipina.
Dalam satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan, pelantikan yang diterima OIC itu telah dimasukkan dalam Pernyataan Akhir sidang kemuncak ke-14 pertubuhan tersebut yang berakhir semalam.
“Ibrahim mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam bidang diplomasi. Beliau juga pernah menjadi duta besar ke Jerman, Syria dan Pesuruhjaya Tinggi ke Nigeria, ” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Wisma Putra memberitahu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sudah memberi taklimat kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai persidangan serta hasil sidang kemuncak berkenaan.
Wan Azizah mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak OIC Ke-14 di Mekah pada 31 Mei lalu yang bertemakan ‘Sidang Kemuncak Makkah Al-Mukarramah: Berganding Bahu Ke Arah Masa Depan.’
Kenyataan itu menyebut, semua negara anggota OIC menghadiri sidang kemuncak itu kecuali Syria kerana keanggotaannya digantung sejak 2012.
Sidang kemuncak itu membincangkan secara mendalam mengenai isu politik, ekonomi dan sosiobudaya yang dihadapi umat Islam dan hanya 10 negara menyampaikan ucapan iaitu Arab Saudi, Bahrain Kuwait, Jordan, Turki, Tunisia, Senegal, Nigeria, Bangladesh dan Pakistan.
Sidang kemuncak itu berakhir semalam dengan menyokong tiga dokumen iaitu Pernyataan Akhir, Resolusi mengenai Palestin dan Al-Quds Al-Sharif serta Deklarasi Makkah. – UTUSAN ONLINE











