Hubungi Kementerian Kewangan bagi urusan pemulangan wang 1MDB - Utusan Malaysia

Hubungi Kementerian Kewangan bagi urusan pemulangan wang 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH – Mana-mana pihak yang berasakan menerima dana daripada syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh menghubungi Kementerian Kewangan bagi urusan memulangkan wang tersebut.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, meskipun kerajaan tidak menetapkan tempoh bagi urusan pemulangan wang itu, namun beliau berharap pihak berkenaan dapat berbuat demikian memandangkan dana yang diterima daripada 1MDB berkenaan masih dalam siasatan.

Tambahnya, pihak-pihak berkenaan juga tidak perlu menunggu sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan senarai penerima atau sehingga tindakan pembekuan akaun dilakukan bagi tujuan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita mempunyai tabung akaun untuk pemulangan dana itu dan sekiranya pihak-pihak yang menerima dana ini ada masalah untuk pulangkan wang berkenaan, lebih baik berhubung dengan Kementerian Kewangan,” katanya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan bencana kepada penduduk di Pusat Parlimen Bagan, di sini hari ini.

Sebelum ini, Guan Eng memaklumkan selain 41 senarai didedahkan SPRM baru-baru ini, terdapat beberapa lagi kesatuan, persatuan dan individu yang turut menerima sumbangan dana 1MDB berdasarkan senarai yang ada pada Kementerian Kewangan.

Ujarnya, ia termasuk persatuan wartawan dan jurugambar di Pulau Pinang yang merupakan antara pihak yang dikenal pasti turut menerima dana berkenaan.

Dalam pada itu, ditanya mengenai saranan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau supaya Kementerian Kewangan turut mendapatkan semula wang 1MDB daripada bekas pemimpin UMNO dalam Pakatan Harapan (PH), Guan Eng menyifatkan perkara itu sebagai ‘tidak masuk akal’.

Ini kerana, kata beliau, individu yang dimaksudkan itu tidak menerima wang daripada dana berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini