MOSCOW 6 Jun – Syarikat telekomunikasi gergasi Huawei yang disekat di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini kerana mengancam keselamatan, secara rasminya menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat telekomunikasi Rusia, MTS untuk membangunkan rangkaian baharu 5G di negara itu.
AFP melaporkan perjanjian itu ditandatangani antara Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam satu pertemuan di Moscow, di sini semalam.
MTS dalam satu kenyataan memberitahu, perjanjian itu menyaksikan pelancaran perintis rangkaian generasi kelima dan pembangunan teknologi teknologi 5G antara kedua-dua syarikat telekomunikasi itu sehingga tahun depan.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini meletakkan Huawei sebagai syarikat senarai hitam untuk dagangan ekonomi selepas mendapati syarikat tersebut mengancam keselamatan negara itu.
Susulan itu, Huawei juga disekat daripada menggunakan perisian Android oleh Google terutamanya yang melibatkan pemindahan produk perkakas serta perisian. -AFP











