KUALA LUMPUR – Satu laporan polis dibuat oleh pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) hari ini bagi menggesa pihak polis membuat siasatan terhadap satu kenyataan dalam laman media sosial Facebook yang didakwa memfitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.
Laporan tersebut dibuat oleh Pertubuhan Gerakan Badan Martabat Pejuang Negara Malaysia (GMPN) kira-kira pukul 11 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.
Presiden GMPN, Razali Zakaria berkata, kenyataan berunsur fitnah itu dibuat oleh seorang pengguna Facebook dengan nama Shamsul Faisal Abdul Wahab.
“Dia juga telah menyunting satu gambar semasa perayaan Thaipusam yang menunjukkan seolah-olah Mujahid sedang menarik kavadi dalam upacara semasa perayaan berkenaan.
“Perbuatan sebegini dilihat telah menyalahgunakan kebebasan laman media sosial yang sepatutnya digunakan untuk perkara berfaedah,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan IPD Dang Wangi hari ini.
Razali menambah, perbuatan individu itu adalah mahu melagakan dan membuat hasutan kepada kedua-dua penganut agama Islam dan Hindu.
“Ia juga dilihat menghina dan mahu mencabar kewibawaan seorang menteri.
“Kami mahu kes ini disiasat dengan sebaiknya dan hukuman perlu dikenakan terhadap individu berkenaan,” ujarnya.
Semalam, tular satu kenyataan di laman media sosial Facebook yang berbunyi ‘Perayaan Thaipusam 8 Februari 2020 harus hukumnya Pakatan Harapan dan Parti Amanah Negara sertai upacara Thaipusam, Pluralisme dalam agama, Islam Rambutan’alamin’ dengan gambar yang sudah disunting menunjukkan Mujahid menarik kavadi dalam perayaan berkenaan. – K! ONLINE











