KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan, mahu Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memainkan peranan lebih aktif menerokai peluang perniagaan baharu supaya ahli-ahli koperasi yang kebanyakkan terdiri daripada kelompok 40 peratus berpendapatan terendah (B40) dapat meningkatkan pendapatan.
Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, koperasi induk seperti Angkasa perlu menggunakan kesempatan terhadap kekuatan hubungan antarabangsa yang ada pada pertubuhan itu serta bilangan ahli yang ramai untuk menceburi pelbagai aktiviti ekonomi.
Beliau mencadangkan Angkasa menyertai sektor halal secara lebih meluas memandangkan negara ini memang telah ada kelebihan sekali gus dapat membantu Malaysia tidak kalah kepada negara-negara jiran yang mula mengembangkan industri halal masing-masing.
“Koperasi sendiri akan menjadi teras utama dalam Dasar Keusahawan Nasional yang akan dilancarkan pada 11 Julai ini.
“Kita mahu hilangkan stigma sektor koperasi ini bersifat pinggiran. Melalui dasar yang diwujudkan, kita mahu sektor koperasi berada dalam arus perdana ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap untuk merasmikan Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa Ke-34 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Turut hadir ialah Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah.
Beliau pada masa sama berkata, kerajaan sedia mengkaji untuk mewujudkan sebuah lagi koperasi induk yang baharu seperti Angkasa untuk mewujudkan persaingan supaya sektor koperasi berkembang dengan baik.
Menteri itu pada masa sama mencabar supaya Angkasa bersama ribuan koperasi di bawahnya mampu merekodkan perolehan mencecah RM50 bilion menjelang tahun 2020 sekali gus merealisasikan sasaran perolehan RM80 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.-UTUSAN ONLINE











