KUALA LUMPUR- Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menularkan berita palsu mengenai dakwaan wujudnya sindiket melibatkan aktiviti menculik kanak-kanak untuk tujuan penjualan organ.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Mansor berkata, mana-mana individu yang dikesan menyebarkan berita-berita palsu boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Jelasnya, walaupun pihak polis telah beberapa kali membuat kenyataan bahawa tidak wujud kegiatan sedemikian di Malaysia namun berita-berita tersebut masih ditularkan dari semasa ke semasa.
“Masyarakat harus maklum bahawa pemindahan organ hanya boleh dilakukan secara sah oleh pakar perubatan dan bukannya sembarangan orang. Lebih-lebih lagi “pemandu van putih” yang sering dikaitkan dengan kegiatan menculik kanak-kanak untuk tujuan mendapatkan organ mereka.
“Pemindahan organ juga hanya boleh dilakukan mengikut prosedur pembedahan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mazlan berkata, pihaknya sekali lagi menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebar atau berkongsi maklumat palsu.
Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi turut menjejaskan ketenteraman awam serta membangkitkan keresahan dalam kalangan masyarakat.-UTUSAN ONLINE











