Henti spekulasi video seks pemimpin PKR - Chee Boon - Utusan Malaysia

Henti spekulasi video seks pemimpin PKR – Chee Boon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Semua pihak perlu berhenti menghukum atau membuat spekulasi sendiri terhadap video seks melibatkan Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang individu didakwa mirip Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebaliknya menyerahkannya kepada polis untuk menyiasat kesahihannya.

Ketua Biro Aduan MCA Johor, Michael Tay Chee Boon berkata, ini kerana satu pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dilantik dan harus menunggu hasil siasatan atau buktinya sebelum membuat keputusan atau tindakan lanjut berkenaan kes itu.

“Biarkan pasukan khas PDRM jalankan kerja mereka dan kita jangan mendahului mereka dengan pelbagai spekulasi sendiri. Perkara ini serius serta sensitif kerana melibatkan maruah mereka yang tertuduh dan juga imej negara kita di peringkat antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hentikan spekulasi dan polimik yang tidak berfaedah. Walaupun MCA dan Barisan Nasional (BN) kini menjadi pembangkang tetapi kita tidak mahu isu ini menjejaskan negara kita hingga negara luar tidak mahu melabur.

“Kita jangan lupa Datuk Seri Mohamed Azmin adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang menjaga pelaburan negara, jadi sedikit sebanyak kita bimbang akan memburukkan lagi keadaan ekonomi kita,” katanya ketika ditemui di Pejabat Biro Aduan MCA Johor, Taman Maju Jaya di sini sebentar tadi.

Kelmarin Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, pasukan khas PDRM itu sudah ditubuhkan untuk menyiasat video berkenaan dengan kerjasama Unit Forensik dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selain tidak perlukan kepakaran luar.

Malah sebuah agensi media Australia, SBS News turut mendapatkan pandangan beberapa pakar bagi mengulas ketulenan video tersebut yang kini juga berada dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut satu laporan artikel yang disiarkan SBS News kelmarin, walaupun pakar-pakar tersebut tidak dapat mengesahkan sama ada individu dalam video tersebut ialah Mohamed Azmin ataupun tidak namun mereka bersetuju bahawa tidak ada kelihatan sebarang pengubahan digital telah dibuat.

Mengulas lanjut, Chee Boon berpendapat, budaya politik tempatan yang menggunakan video seks untuk menjatuhkan seseorang pemimpin adalah jijik, perlu dihentikan serta tidak boleh diterima sama sekali dalam masyarakat bertamadun dan moden pada hari ini.

Perbuatan tersebut jelasnya, mengaibkan mereka yang dituduh sama ada betul atau sebaliknya dan politik kotor tersebut perlu dihentikan sebelum menjadi satu budaya dalam politik negara ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini