KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof didesak tidak menggunakan Kursus Perdana Haji sebagai medan propaganda politik bagi menghasut bakal jemaah supaya membenci kerajaan dan pengurusan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang lalu.
Ingatan itu disampaikan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang turut mencabar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat Tabung Haji.
Sambil berkongsi sebuah video ketika Mujahid menyampaikan ucapan semasa Kursus Perdana Haji peringkat negeri Terengganu, Asyraf Wajdi menyeru Mujahid supaya membiarkan bakal jemaah haji memberi tumpuan kepada penyempurnaan ibadah tersebut, bukannya dipaksa mendengar ceramah politik yang didakwa mengapi-apikan perbalahan dan bersifat prejudis.
“Buat kekandaku Mujahid, Kursus Perdana Haji bukan medan propaganda politik untuk menghasut bakal jemaah supaya marah dengan kerajaan terdahulu dan pengurusan Tabung Haji yang lalu.
“Jika YB (Mujahid) berada pada kedudukan yang benar dan tiada apa yang hendak disorokkan, saya sekali lagi mencabar Mujahid menggesa kerajaan menubuhkan segera RCI mengenai hal ehwal kewangan dan pelaburan Tabung Haji,” katanya menerusi catatan dalam akaun Facebook miliknya hari ini.
Dalam video berdurasi 57 saat yang dikongsi Asyraf Wajdi itu, Mujahid berkata, aset dan tanggungan Tabung Haji akan dapat diimbangkan semula melalui pemulihan yang sedang dijalankan.
“Hanya dengan pemulihan kita, fasa awal iaitu mengurangkan atau mengimbangkan balik aset dengan tanggungan. Alhamdulillah, pada 2018 ketika kita bentangkan balik laporan mengikut suku pertama, kedua dan ketiga, kejayaan paling besar Tabung Haji yang orang tak mahu cerita sebab kalau cerita itu adalah kejayaan kerajaan hari ini,” katanya dalam video tersebut.
Tambah Asyraf Wajdi, Tabung Haji tidak pernah dilaporkan mengalami kerugian daripada awal penubuhan, bahkan memperoleh keuntungan bersih melangkaui RM1 bilion setelah ditolak cukai dan zakat bermula tahun 2009.
“Tiba-tiba naik YB Menteri (Mujahid), Tabung Haji dikatakan rugi, akaun ditipu dan macam-macam tuduhan serta dakwaan. Jika benar akaun dimanipulasi, Jabatan Audit Negara adalah badan pertama perlu keluarkan kenyataan kerana selama ini merekalah yang mengaudit akaun dan laporan kewangan Tabung Haji.
“Parlimen juga harus bertanggungjawab kerana dibentangkan dan diluluskan setiap tahun di Parlimen. Sebab itulah yang terbaik tubuhkan segera RCI sebagaimana janji Pakatan Harapan (PH) juga dalam manifesto mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE











