KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa untuk menghentikan modus operandi dengan kaedah penjualan aset negara sebagai pendekatan untuk mengukuhkan ekonomi negara.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebaliknya kerajaan diminta untuk mencari kaedah lain yang boleh dilaksanakan tanpa mengambil jalan mudah.
Tegas beliau, pendekatan mudah melalui penjualan aset yang telah dan akan dilakukan itu adalah bukti ketidakupayaan Kerajaan PH untuk memikirkan pendekatan atau kaedah terbaik menjana pendapatan negara.
“Penjualan aset merugikan dan bukan kaedah terbaik pada negara.
“Sehingga kini, kita difahamkan telah banyak aset negara terjual umpamanya IHH Berhad, BDO Unibank dan sebagainya. Maka, jika sebelum ini pimpinan PH memfitnah Barisan Nasional (BN) menjual negara, sebaliknya tindakan mereka inilah yang menggadai dan menjual negara. Oleh itu ianya mesti dihentikan,” katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











