KUALA LUMPUR – Proses siasatan terhadap Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku terlibat dalam video seks bersama lelaki yang mirip seorang menteri Kabinet masih berlangsung dan permohonan reman akan dibuat sekiranya perlu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, sekiranya siasatan di peringkat ini selesai hari ini, pemuda berusia 27 tahun itu akan dibebaskan dengan jaminan polis.
“Belum tahu lagi. Semuanya bergantung pada proses siasatan. Jika selesai, dia akan diberi jamin namun sekiranya tidak diselesaikan pasukan siasatan akan mohon reman.
“Perkara itu (proses reman) akan diatur oleh pasukan siasatan bersama Majistret nanti jika perlu,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.
Sementara itu, peguam Haziq Abdullah, Ramesh Sivakumar memaklumkan, anak guamnya sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur.
“Saya difahamkan Haziq tidak akan direman dan akan dibebaskan selepas proses siasatan selesai tapi tidak pasti bila,” ujarnya.
Semalam, Haziq Abdullah ditahan ketika berada di terminal pelepasan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan berdasarkan tiket penerbangan, suspek dijadual berlepas ke Manila, Filipina.
Terdahulu, media melaporkan terdapat beberapa klip video tular memaparkan dua lelaki berada di atas katil dalam keadaan bogel melakukan aksi seksual dengan seorang daripadanya didakwa kelihatan menyerupai menteri Kabinet. – UTUSAN ONLINE











