KUALA LUMPUR – Haziq Abdullah Abdul Aziz, satu daripada ‘watak’ dalam sebuah video seks sejenis yang tersebar baru-baru ini mengakui impiannya dalam dunia politik terjejas ekoran skandal tersebut.

Menerusi petikan wawancara yang disiarkan portal Mstar hari ini, Haziq Abdullah turut menganggap kontroversi tersebut sangat tragis apabila dia terheret dalam konspirasi untuk menjatuhkan Mohamed Azmin Ali dalam politik.
“Video skandal seks ini telah menjejaskan impian politik saya tetapi sejauh mana, saya tidak pasti. Tetapi sudah tentu, dengan cara yang buruk. Buat masa ini, saya perlu melupakan untuk menjadi orang politik,” katanya.
“Saya mangsa. Saya tidak terlibat dalam konspirasi dan saya tidak tahu siapa yang berada di belakangnya. Saya serahkan kepada polis untuk menyiasat,” katanya.
Haziq Abdullah turut menzahirkan rasa kecewa mengenai keputusan pemecatannya sebagai Setiausaha Sulit Kanan, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.
“Hanya kerana saya mengakui bahawa saya adalah individu dalam video itu, bagaimana anda boleh menghukum satu pihak sahaja, sebenarnya perkara itu dilakukan oleh dua pihak?,” katanya.
Dalam wawancara itu juga, Haziq Abdullah mengakui tidak mempunyai telefon bimbit lagi kerana bimbang akan dijejaki pihak yang mungkin mahu membunuhnya.
“Sekarang saya tidak mempunyai telefon bimbit. Saya telah membuangnya kerana saya bimbang seseorang akan menjejaki saya dan membunuh saya. Saya sangat paranoid. Jadi, saya hanya tinggal di rumah dan menonton TV dan membaca buku.
“Sekarang, saya tidak mempunyai rancangan, tetapi saya sentiasa boleh kembali ke amalan undang-undang di Kuching,” katanya.-UTUSAN ONLINE.











