KUANTAN – Pas bakal berdepan cabaran-cabaran baharu termasuk usaha menggagalkan kerjasama politik yang dijalinkan dengan UMNO sepanjang perjalanan menuju Pilihan Raya Umum Ke-15.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, musuh-musuh politik melihat potensi apa yang bakal berlaku apabila kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu berkerjasama secara serius dalam pilihan raya umum tersebut.
Berikutan itu, katanya, pelbagai usaha akan dilakukan oleh musuh-musuh politik berkenaan untuk menggagalkan kerjasama tersebut..
“Dalam perjalanan ini akan berdepan dengan usaha-usaha untuk menggagalkannya. Kita perlu berhati-hati termasuk dengan media massa,” katanya dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir Muktamar Tahun Pas Ke-65 di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini hari ini.
Mohd. Amar juga meminta semua ahli Pas supaya memberi kepercayaan kepada pucuk kepemimpinan parti itu membuat keputusan-keputusan penting berikutan pendekatan ta’awun dan tahaluf siayasi yang dilaksanakannya. – UTUSAN ONLINE











