KUALA LUMPUR – Laporan kenyataan Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan mengenai hasrat membawa negeri Sarawak keluar dari Persekutuan Malaysia sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) mencetuskan kemarahan banyak pihak.
Kenyataan sebegitu dianggap sebagai provokasi yang boleh menjejaskan kedudukan Malaysia dan perpaduan kaum.
Perkara itu turut dibantah oleh Ketua Wira Penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif yang turut meragui adakah mereka yang mahu keluarkan Sarawak dari Persekutuan Malaysia adalah benar-benar anak jati atau pribumi negeri berkenaan.
Berikut adallah kenyataan penuh Nasrul Ali Hasan:
Wira Putra terkejut dan mengecam dengan keras tindakan kepimpinan PBK mengeluarkan kenyataan menghasut untuk membawa Sarawak keluar daripada persekutuan Malaysia.
Tindakan parti tersebut mencari publisiti dan sokongan dengan cara amat berbahaya kepada keselamatan negara dan merupakan politik murahan yang paling rendah dan tidak bermoral. Ia juga adalah satu hasutan yang boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat pribumi yang telah hidup secara harmoni selama ini.
Tindakan ini juga adalah tindakan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan negara. Ia perbuatan treason atau menderhaka yang mengancam keselamatan negara.
Kenyataan biadab ini adalah satu sikap yang tidak patriotik kepada negara dan amat berbahaya kerana kesannya mengancam keharmonian negara. Pihak keselamatan khususnya polis hendaklah segera mengambil tindakan mengikut undang-undang yang sedia ada sebelum nasi menjadi bubur.
Para pemimpin parti tersebut tidak wajar mencari jalan pintas bagi mendapat sokongan dan kemenangan dengan cara menguna memainkan isu-isu sensitif yang amat berbahaya. Siasatan dan tindakan segera pihak keselamatan hendaklah menyeluruh kerana ada kemungkinan terdapat anasir luar memainkan peranan dari belakang secara halus.
Tuduhan serta alasan mereka bahawa kepimpinan dari Semenanjung Malaysia yang cuba mendominasi negeri Sarawak adalah tuduhan yang liar dan tidak wajar kerana sehingga kini Sarawak masih melaksanakan sistem pentadbiran dan perundangannya sendiri.
Negeri-negeri di Borneo sehingga kini masih menikmati keistimewaan seperti yang telah termeterai dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Usaha untuk penambahbaikan MA63 sedang diusaha dan pasti akan berhasil jika semua pihak ada sifat toleransi dan semangat patriotik.
Wira Putra juga meragui adakah mereka yang vokal mahu keluarkan Sarawak dari Persekutuan Malaysia adalah benar-benar anak jati yang tidak bercampur keturunan dengan bukan pribumi.
Ini kerana kenyataan Presidennya yang mengatakan ia adalah satu kesilapan besar Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 seperti menghina para pejuang anak jati negeri Sarawak terdahulu yang bermati-matian demi memperoleh kemerdekaan.
Wira Putra menjunjung tinggi kedaulatan negeri-negeri di dalam Persekutuan Malaysia termasuk Borneo dan tidak sepatutnya dicemari oleh gerakan-gerakan yang mengarah kepada hasutan dengan agenda sekadar untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan datang. – UTUSAN ONLINE
*Kenyataan di atas tidak semestinya mencerminkan pendirian atau pandangan Utusan Online, ia merupakan pandangan peribadi penulis.











