Harga minyak mentah dijangka AS$65-AS$75 setong - Utusan Malaysia

Harga minyak mentah dijangka AS$65-AS$75 setong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Jun- Minyak mentah dijangka diniagakan antara AS$65 (RM269.32) dan AS$75 (RM310.75) setong pada separuh kedua tahun ini, namun konflik geopolitik berterusan boleh mendorong harga itu meningkat lebih tinggi.

Pengerusi dan pengasas firma perundingan terkemuka yang menumpukan pasaran minyak dan gas global, FGE, Dr. Fereidun Fesharaki berkata, bagi beberapa tahun akan datang, harga minyak dijangka dalam julat antara AS$60 (RM248.60) dan AS$70 (RM290) setong.

“Bagi pandangan jangka pendek, dengan pengecualian situasi kemerosotan ekonomi, peningkatan permintaan terhadap minyak adalah kukuh pada satu juta tong sehari,” katanya semasa menyampaikan ucapan khas dalam sesi ‘Conference Chairman Crystal Ball: Energy Outlook’ sempena Persidangan Minyak dan Gas Asli (AOGC) 2019 di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras diniagakan pada AS$64.22 (RM266.05) setong buat masa ini.

Mengulas lanjut harga minyak, Fesharaki berkata, pengurangan pengeluaran minyak oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC pada Disember 2016 dan Disember 2018 telah membawa kepada pengukuhan harga.

“Bagaimanapun, apabila mereka melonggarkan pengeluaran, harga jatuh semula. Paras harga semasa dipengaruhi oleh sentimen menurun dalam pasaran berbanding peningkatan ketegangan perdagangan antara ekonomi utama,” katanya.

Beliau berkata, bagi jangka pendek, permintaan berkurangan terhadap minyak mentah dianggap sebagai faktor utama, berbanding kesan perang perdagangan.

“Kesan perang perdagangan ke atas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ekonomi negara-negara belum dapat dilihat, malah hakikatnya ekonomi global telah berkembang pada kadar lebih perlahan,” katanya.

Mengulas mengenai segmen gas asli cecair (LNG), Fesharaki berkata, sejumlah besar projek di Amerika Syarikat dan Australia pada 2019 dan 2020 akan mengakibatkan penurunan harga LNG AS$3.5 (RM14.51) hingga AS$4.5 (RM18.65) bagi satu juta unit terma British (mmbtu) di Eropah dan Asia.

“Projek LNG terakhir akan dilaksanakan pada lewat tahun depan dan selepas itu ia akan berakhir. Bagi jangka sederhana, dengan pasaran LNG dijangka terhad dan kekangan jumlah baharu serta pertumbuhan permintaan pada kira-kira empat peratus, harga itu akan meningkat melebihi harga kontrak,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini