IPOH 23 Jun – Desakan untuk menghapuskan sistem pendidikan vernakular di negara ini adalah bertentangan dengan kehendak serta peruntukan dalam Perlembagaan negara yang membenarkan pembelajaran selain daripada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Naib Pengerusi DAP negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, kerajaan sebenarnya boleh membantu sekolah-sekolah berkenaan serta pembelajaran bahasa-bahasa lain selain daripada bahasa Melayu.
“Saya melihat cadangan itu menampakkan kejahilan selain sikap ekstrem yang menunjukkan kecenderungan nasionalisme sempit dalam Pas itu sendiri di dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.
“Institusi sekolah Cina dan Tamil ini telah wujud lebih daripada 60 tahun, jadi untuk memansuhkan sesuatu yang kita boleh sifatkan sebagai identiti dan budaya, ia suatu perkara yang tidak masuk akal,” katanya.
Abdul Aziz yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Aidilfitri anjurannya di Dewan Bankuasi Carsem di Taman Maju Rapat di sini hari ini.
Abdul Aziz mengulas desakan wakil Dewan Muslimat Pas, Salamiah Md Nor dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-65 di Kuantan semalam yang menggesa kerajaan Pakatan Harapan supaya menghapuskan sistem pendidikan vernakular kerana dasar itu tidak menyumbang kepada perpaduan kaum. – UTUSAN ONLINE











