KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia akan memperhalusi cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berhubung isu melibatkan kebajikan dan hak pekerja swasta di negara ini menerusi pindaan Akta Kerja 1955.
Menterinya, M. Kula Segaran berkata, pihak kementerian mengadakan mesyuarat setiap bulan bersama MTUC dan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) bagi menganalisis sebarang cadangan yang dibangkitkan.
Oleh itu, beliau berkata, sebarang keputusan yang dibuat kelak akan melibatkan penilaian bersama daripada semua pihak.
“Kita sambut baik pandangan MTUC kerana pada setiap bulan kita memang mengadakan mesyuarat bersama bagi membincangkan sebarang isu berkaitan pekerja tersebut.
“Saya tidak boleh buat keputusan sekarang sebab kita perlu meneliti dan membuat penilaian terhadap hasil mesyuarat yang akan diadakan nanti,” katanya ketika ditemui selepas Taklimat Tindakan Global Mengenai Perlindungan Lautan di bangunan Parlimen di sini hari ini.
MTUC baru-baru ini mencadangkan supaya pekerja swasta menikmati elaun kos sara hidup (COLA) bulanan RM300, cuti bersalin 60 hari dinaikkan kepada 98 hari, cuti bergaji 30 hari untuk menunaikan Haji dan elaun perumahan untuk pekerja di bandar diterap dalam Akta Kerja 1955.
Selain akta berkenaan, kerajaan Pakatan Harapan disaran supaya mengkaji semula Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 selaras dengan janji manifestonya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
Setiausaha Agung MTUC , J. Solomon berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan pindaan komprehensif untuk ketiga-tiga akta itu bagi menambahbaik kebajikan pekerja serta membela maruah mereka. – UTUSAN ONLINE











