PUTRAJAYA – Hab Pemborongan Usahawan Bumiputera Kelantan bakal menjadi medium kepada hampir 4,000 usahawan Bumiputera untuk memasarkan produk mereka serata negara.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, premis yang terletak di Kota Bharu, Kelantan itu akan menjadi pusat jualan dan pasaran produk usahawan selain menempatkan pejabat agensi kerajaan berkaitan keusahawanan.
“Kota Bharu merupakan usaha permulaan dan dengan adanya hab ini, ianya dijangka akan menyokong pembangunan usahawan dalam meluaskan pasaran, mempertingkatkan skala perniagaan sekali gus menggalakkan ekonomi setempat.
“Ramai usahawan kita masih mencari lokasi untuk menempatkan produk, namun dengan adanya kaedah ini, secara tidak langsung memberi pilihan kepada mereka sekiranya gagal menempatkan barang dagangan di pasaraya, dengan harga lebih murah dari yang kita lihat di tempat lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) dengan Syarikat Liziz Standaco (LSSB) di sini hari ini.
Pertukaran MoU tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Seri Muhamad Suparadi Md. Nor dan Pengarah Urusan LSSB, Tan Sri Guok Nguong Peng. – UTUSAN ONLINE.











