BUDAPEST – Ryan Giggs mengakui berdepan kesukaran untuk mencari peranan aktif terbaik buat Gareth Bale dalam pasukan Wales selepas pemain itu bergelut dalam aksi kelayakan Euro 2020 yang menyaksikan mereka tewas 0-1 kepada Hungary.
Bale terlepas peluang terbaik dalam perlawanan itu selepas percubaannya tepat menghala ke arah penjaga gawang tuan rumah, Peter Gulacsi dan Mate Patkai memanfaatkan peluang terhidang untuk meledak jaringan tunggal perlawanan ketika perlawanan berbaki 10 minit.
Selepas memiliki Dan James selaku penyerang tunggal dengan Bale bergerak di sayap kiri, Giggs berkata, aksinya kurang memberangsangkan selepas mengharungi musim buruk di La Liga.
“Dia kecewa sama seperti kami dalam dua perlawanan ini.
“Saya pernah katakan sebelum ini, dia pemain yang bagus tetapi kecergasan menjadi isu besar selepas dia lama tidak beraksi dan perlu bangkit dalam tempoh yang sangat singkat.
“Cara dia bermain juga, larian intensiti tinggi. Memang sukar tetapi dia bermain dengan baik.
“Memang sukar untuk saya mencari posisi terbaik untuk Gareth menjadi pemain berkesan. Kami memiliki ramai pemain yang boleh bermain di bahagian kanan atau No.10.
“Sejak sekian lama, Gareth membuktikan dia boleh bermain sebagai penyerang di bahagian kanan. Ini adalah tugasan saya untuk mencari posisi terbaik untuk setiap pemain,” katanya.
Ia merupakan kekalahan kedua Wales dalam empat hari dan mereka menduduki tangga kedua terbawah Kumpulan E selepas tiga perlawanan dan Giggs sedar, pasukannya sedang bergelut untuk bangkit dalam baki lima perlawanan akan datang.-AGENSI











