TAIPING – Selepas lebih lima bulan menjalankan kegiatan ragut dan samun, dua lelaki Geng Takim akhirnya ditangkap polis di sebuah rumah di Simpang di sini pada Isnin minggu lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, suspek berusia 24 dan 30 tahun itu diberkas menerusi serbuan Op Rentap pada pukul 6 petang.
Katanya, kumpulan yang melakukan jenayah dengan menunggang motosikal itu menyasarkan golongan wanita yang memandu kenderaan bersendirian sebagai mangsa.
“Modus operandi kumpulan ini semasa melakukan jenayah ragut dan samun adalah memecahkan cermin kereta mangsa menggunakan palam pencucuh sebelum melarikan beg tangan mereka.
“Kumpulan ini aktif sejak awal tahun ini dan dipercayai telah terlibat dalam 10 kes di Taiping dan satu kes di Kuala Kangsar membabitkan kerugian sehingga RM15,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini hari ini.
Menurut Osman, dengan tertangkapnya suspek, pihak polis telah merampas pelbagai barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dan kasut serta sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z.
Ujarnya, pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes curi kenderaan dan dadah.
“Kedua-dua suspek masih dalam tahanan reman dan siasatan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,’ katanya.-UTUSAN ONLINE











