Sebagai rumusan untuk membuat kajian saham, Cikgu Saham mahu memberi beberapa garis panduan kepada pembaca yang baharu melibatkan diri dalam pelaburan mahupun perdagangan saham lebih-lebih lagi yang tidak mempunyai tenaga pengajar atau jurulatih. Pendek kata panduan ini kepada mereka yang membuat pelaburan atau urus niaga saham secara bersendirian tanpa bimbingan.
Kajian saham pula perlu dibuat berdasarkan ilmu analisis teknikal dan fundamental di samping mengambil tahu berita-berita semasa syarikat tersenarai, berita-berita utama ekonomi tempatan dan global yang berkaitan dengan pasaran saham.
Membuat kajian saham semasa pasaran saham sedang diurus niagakan.
Pedagang saham yang aktif atau sering keluar masuk pasaran perlu membuat kajian semasa urusniaga pasaran. Ia bertujuan untuk mendapatkan pembacaan yang tepat kerana semua data yang diperlukan boleh diperoleh pada masa itu juga.
Selain itu, membuat kajian semasa pasaran sedang diurus niagakan berbanding semasa pasaran ditutup perlu disusuli dengan tindakan yang cepat tanpa mengambil masa yang lama.
Membuat keputusan yang tepat dalam pemilihan saham.
Semasa membuat analisis atau kajian saham apakah yang harus dibeli, pelabur atau pedagang mesti tahu pada harga berapa yang patut dibeli dan sepatutnya mengetahui bahawa saham tersebut bakal naik harga. Selagi seseorang itu tidak tahu saham itu akan naik pada sekian-sekian harga, dia tidak boleh lagi membeli apa-apa saham lain kerana tindakan itu seolah-olah seperti menjudikan nasib.
Membuat tindakan yang cepat.
Setelah selesai membuat kajian, pedagang harus membuat keputusan untuk membeli. Pedagang tidak boleh mengambil masa yang terlalu lama untuk berfikir atau membuat keputusan kerana harga saham berkemungkinan naik yang mengakibatkan pedagang terlepas peluang untuk membeli pada ketika itu. Selang masa untuk membuat keputusan membeli dalam keadaan pasaran yang menaik tidak lebih dari 5 minit berbanding dalam keadaan pasaran lemah atau menurun. Ini disebabkan adakalanya harga saham bergerak menaik dengan pantas.
Menunggu harga saham naik setelah beli.
Sekiranya pedagang mendapati harga saham itu masih belum naik seperti yang dikehendaki melalui pembacaan carta saham dan kajian analisis fundamental, pedagang harus sabar dan memberi tempoh masa menunggu. Tempoh masa ini ialah beberapa tahun dan maksimum setahun.
Jual bila untung.
Pedagang saham boleh menjual saham itu sekiranya harga telah naik. Harga boleh jadi kurang daripada yang disasarkan sekiranya pedagang khuatir harga saham akan jatuh disebabkan sentimen negatif atau ketidaktentuan iklim pasaran. Tindakan menjual ini perlu juga merujuk kepada pasaran kerana ada ketikanya harga saham sangat peka kepada sentimen walaupun pada ketika itu carta saham masih belum menunjukkan tanda-tanda kejatuhan.
Dalam keadaan ini, pedagang saham perlu menggunakan budi bicara dan pengalaman serta pengamatan pergerakan turun naik pasaran berserta pengalaman yang telah dilalui sebelum ini.
Tidak boleh membeli sekiranya belum jual.
Sekiranya pedagang saham mempunyai beberapa kaunter dalam portfolio pelaburan, jangan menambah lagi pegangan saham sekiranya belum menjual apa-apa kaunter miliknya. Ini untuk menghindar kerugian dalam jumlah yang besar di atas kertas sekiranya pasaran jatuh atau merudum.
Walaupun dalam suasana pasaran aktif dan menaik, sekiranya pedagang saham masih belum menjual apa-apa kaunter di dalam portfolio, adalah dilarang untuk membeli lebih-lebih lagi jika tidak membuat sebarang analisis.
Tindakan yang perlu diambil jika saham yang dibeli jatuh.
Jika pedagang mendapati saham-saham yang dibeli jatuh dan mengalami kerugian atas kertas, penyelidikan perlu dibuat bagi mengenal pasti kejatuhan itu. Ia perlu dilakukan sebelum mengambil keputusan untuk melupuskan mana-mana pegangan saham yang tidak berbaloi untuk disimpan lebih lama.
Jual untuk bertukar kepada saham yang berpotensi.
Tindakan ini dilakukan untuk menukar saham syarikat tersenarai yang lebih berpotensi setelah pedagang melupuskan saham-saham yang tidak menguntungkan. Tindakan segera juga perlu diambil lebih-lebih lagi jika pedagang sedar bahawa saham syarikat tersebut bakal dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia.
Berhenti sebentar jika tidak tahu hala tuju pasaran.
Sekiranya pedagang melupuskan pegangan saham tanpa mendapat untung atau rugi kerana tidak pasti hala tuju pasaran, adalah penting untuk berhenti sebentar daripada meneruskan aktiviti saham dan mengambil keputusan tunggu dan lihat.
Semoga dengan penerangan di atas ini, para pembaca mampu menjadi pelabur dan pedagang yang bijak di masa hadapan.
Kepada yang ingin mempelajari tentang pelaburan saham atau membuka akaun urus niaga saham, sila hubungi talian 019-2352037.











