PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri perlu membuat penilitian secara lebih mendalam sebelum syor mengenai kenaikan gaji dan elaun anggota polis berpangkat rendah di bawa ke Kabinet.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam keadaan ekonomi semasa negara yang berdepan masalah kewangan, perlu sedikit kesabaran sebelum keputusan dibuat berhubung syor tersebut.
Beliau berkata, syor itu bukan perkara baharu kerana sejak dahulu, polis telah menyatakan bahawa gaji anggota bawahan mereka agak rendah dan perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.
“Kita sudah terima (syor),ini sebenarnya bukan perkara baharu. Sejak dahulu polis katakan gaji anggota bawahan agak rendah. Apa pun, kita perlu teliti perkara ini dan membuat kajian secara mendalam.
“Dalam situasi semasa (negara) berhadapan dengan masalah kewangan…semua itu (syor) memerlukan sedikit kesabaran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Imigresen di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador memohon agar gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan itu.
Menurut Abdul Hamid, gaji yang diperoleh golongan tersebut iaitu daripada sarjan ke bawah adalah rendah dan tidak mampu menampung kos sara hidup terutama bagi mereka bertugas di bandar-bandar besar.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, syor itu belum dibawa ke Kabinet kerana jabatan dan agensi di bawah kementerian perlu mengadakan perbincangan untuk mendapatkan persetujuan sebelum ke Kabinet.
Dalam pada itu katanya, pihaknya menyokong syor itu namun, apabila dibawa ke agensi pusat atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ianya perlu mengambil kira bukan sahaja polis tetapi perjawatan lain.
“Kesannya adalah penggandaan dari yang lain-lain tetapi, asas untuk mereka mohon itu ada. Dalam hal ini kita tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa dan perlu melibatkan jabatan yang lain seperti JPA,” katanya.-UTUSAN ONLINE











