BATU PAHAT – Maritim Malaysia (APPM) mematahkan cubaan dua lelaki menyeludup masuk 45,000 ekor benih udang kara bernilai dalam serbuan di Sungai Muar dekat sini awal pagi hari ini.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, dalam kejadian pada pukul 12.50 pagi itu, kedua-dua lelaki yang diberkas berusia 24 dan 50 tahun.
Menurutnya, kejayaan mematahkan aktiviti penyeludpan ini adalah hasil daripada perkongsian maklumat risikan antara Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6 serta Sistem Pengawasan Maritim Laut (SWASLA).
“Ketika kejadian sebuah bot dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan ke atas mereka menemui 19 peti polisterin mengandungi 450 bungkusan lutsinar.
“Setelah pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 45,000 ekor benih udang kara yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohammad berkata, siasatan awal mendapati udang kara ini disyaki diseludup untuk pasaran dalam negara ini kerana mendapat permintaan yang tinggi.
Jelasnya, nilai keseluruhan barang rampasan termasuk bot adalah RM90,000 dan kedua-dua suspek dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Perikanan 1985. – K! ONLINE











