PEMENTASAN Teater oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan sebahagian daripada program pembudayaan dan pengembangan sastera yang cukup popular dan sentiasa mendapat sambutan daripada masyarakat, khususnya khalayak sastera.
Selain pementasan teater berskala besar seperti Pementasan Teater Perdana, DBP turut mementaskan teater berskala kecil seperti teater pendek, teater stor dan teater KOMSAS yang kini semakin popular dan mendapat perhatian penggiat seni, para remaja dan pelajar di seluruh negara.
Tahun ini, DBP menggorak langkah ke hadapan melalui penganjuran Festival Teater Remaja DBP-Penjara 2019 khusus untuk penghuni sekolah integriti di bawah seliaan Jabatan Penjara Malaysia.
Program yang mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Penjara Malaysia (JPM) ini memasuki tahun kedua penganjurannya bermatlamat untuk menjadikan pementasan teater sebagai salah satu kaedah terbaik dalam proses pemulihan penghuni di dalam penjara.
Melalui medium teater mereka dipupuk dengan nilai kemanusiaan, semangat setiakawan, semangat berpasukan, disiplin diri dan yang paling utama memupuk keyakinan diri untuk berdepan dengan khalayak setelah bebas.
Yang menariknya, festival ini juga merupakan salah satu program utama dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia pada tahun 2020.
Tahun ini, setiap kumpulan diberikan tugasan mengadaptasi cerpen-cerpen daripada Sasterawan Negara untuk dipentaskan. Pemilihan cerpen daripada Sasterawan Negara juga secara tidak langsung dapat mendekatkan tokoh ini kepada golongan remaja selain mengiktiraf sumbangannya kepada pembinaan negara bangsa yang diacu melalui pemikiran dan identiti bangsanya sendiri.
Cerpen-cerpen terpilih ini bukan sahaja mempunyai mesej yang cukup jelas dan dekat dengan kehidupan dan permasalahan remaja serta isu semasa di negara kita malah mempunyai kekuatan tersendiri dalam menyampaikan maksud kepada remaja tentang kepentingan dan kebertanggungjawaban dalam sesuatu perkara.
Antara cerpen-cerpen yang berjaya dipentaskan oleh lapan pasukan yang bertanding termasuklah Pemimpin Kecil dari Kuala Semantan karya Keris Mas (Sekolah Henry Gurney Lelaki Teluk Mas, Melaka); Kedai Sederet di Kampung Kami karya Keris Mas (Sekolah Integriti Sungai Petani, Kedah); Baboon karya Abdullah Hussain (Sekolah Integriti Perempuan Bentong, Pahang); Sehari Dalam Hidup Jinggat karya Anwar Ridhwan (Sekolah Integriti Marang, Terengganu); Balada Si Angsa Hitam karya Nordin Hassan (Sekolah Integriti Puncak Alam, Selangor); Longkang karya A. Samad Said (Sekolah Integriti Kluang, Johor); Malam yang Melemparkan karya Baha Zain (Sekolah Satelit Pengkalan Chepa, Kelantan); dan Rimbaku, Airmataku karya Usman Awang (Sekolah Integriti Perempuan Henry Gurney, Telok Mas, Melaka).
Penganjuran kali ini juga cukup bermakna kepada penghuni ini melalui tajaan barangan sukan kepada setiap pasukan yang bertanding oleh syarikat KH Sport World Sdn. Bhd.
Bagi Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Sulaiman Wak, keterlibatan penaja daripada swasta, korporat, dan agensi berkaitan kerajaan sangat diperlukan dalam usaha mengubah persepsi masyarakat untuk menerima dan memberi peluang kedua kepada penghuni ini untuk menjadi yang lebih baik sekali gus menyumbang tenaga dan buah fikir demi kesejahteraan negara.
Tahun ini, tuah berpihak kepada Sekolah Integriti Sungai Petani apabila membawa pulang hadiah utama festival tersebut dengan memenangi hadiah Tempat Pertama, Pengarah Terbaik, Pelakon Terbaik dan Pelakon Pembantu Terbaik.
Manakala pasukan dari Sekolah Integriti Perempuan Bentong, Pahang mendapat tempat Kedua dan turut memenangi anugerah Skrip Terbaik, Sinografi Terbaik dan Pelakon Harapan Terbaik.
Tempat Ketiga disandang oleh Sekolah Integriti Kluang dan turut memenangi anugerah Khas Juri, selain Sekolah Integriti Marang, Pahang dan Sekolah Henry Gurney Perempuan Telok Mas, Melaka masing-masing memenangi hadiah sagu hati. -UTUSAN ONLINE











