LONDON – Khabar angin mengenai Rio Ferdinand bakal memegang jawatan pengarah sukan Manchester United semakin bertiup kencang apabila dia mengakui akan kembali ke pangkuan kelab lamanya itu.
Media tempatan, Sportsmail mendedahkan pada April lalu, bekas pertahanan Red Devils itu mengadakan pertemuan bersama ketua eksekutif United, Ed Woodward bagi membincangkan jawatan kosong tersebut.
Pemilik United iaitu waris keluarga Glazer berminat untuk mendapatkan khidmat Ferdinand sejak dia bersara empat tahun lalu bagaimanapun atas masalah peribadi perkara tersebut tidak dapat direalisasikan.
Walaupun bekerja sebagai pengulas di BT Sport, Ferdinand mengakui dia masih berminat untuk memegang jawatan utama di kelab tersebut.
“Pada penghujung harinya, saya manusia biasa dan semua orang tahu mengenai hubungan saya dengan Manchester United dan saya amat menyayangi kelab itu.
“Jadi, jika ditanya sama ada saya mahu mainkan peranan di kelab tersebut, sudah tentu saya mahu. Saya sudah duduk berbincang dan anda akan tahu mengenainya kemudian,” kata Ferdinand.
United memulakan gerak kerja untuk merombak kelab tersebut sejak bulan lalu namun masih mencari individu yang bersesuaian untuk memantau strategi perpindahan serta rundingan dan dalam masa sama berurusan dengan pengurus, Ole Gunnar Solskjaer. – AGENSI











