KANGAR – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri mengingatkan orang ramai menjauhi kawasan pantai berikutan fenomena air pasang besar yang sedang melanda ketika ini.
Timbalan Pengarah APM negeri, Mohd Farid Ishak berkata, fenomena berkenaan dijangka berterusan sehingga Khamis ini.
Beliau berkata, pihaknya telah mengerahkan anggota melakukan rondaan berkala, bagi meminta orang ramai agar menjauhi kawasan berkenaan seterusnya mengelak daripada mereka terdedah dengan sebarang risiko.
“Kita mengerahkan anggota memantau sepanjang kawasan pesisiran pantai dari Kuala Perlis hingga Sanglang. Kita merekod paras air dan sekiranya melebihi paras bahaya, amaran akan dikeluarkan serta-merta.
“Hujan lebat juga berlaku sewaktu air pasang besar ini semalam turut menyebabkan kawasan pesisir Kuala Perlis ini dinaiki air. Jadi, kita menasihatkan penduduk di kawasan itu agar berjaga-jaga,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, berdasarkan rekod APM semalam, air pasang besar itu dicatatkan setinggi sehingga 3.2 meter.
“Sebanyak lapan kes membabitkan pokok tumbang direkodkan semalam di beberapa kawasan di Perlis, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa,” katanya. – UTUSAN ONLINE











