HALLE WESTFALEN, Jerman – Jaguh tenis Switzerland, Roger Federer memulakan persiapan menjelang Wimbledon dengan keputusan positif apabila berjaya menewaskan pemain Australia, John Millman untuk mara ke pusingan kedua ATP Terbuka Halle.
Ini juga adalah kemenangan pertama Federer dalam aksi gelanggang rumput pada musim ini dengan keputusan 7-6 (7/1), 6-3.
Dalam aksi pusingan kedua Federer bakal bertemu pemain Perancis, Jo-Wilfried Tsonga yang menewaskan rakan senegaranya Benoit Paire dengan keputusan 6-4, 7-5 di pusingan pembukaan.
Kata Federer dia amat gembira apabila dapat memulakan kempen kejohanan dengan kemenangan sekali gus mampu menguatkan semangatnya bagi meneruskan saingan.
“Apa yang paling penting kini adalah memenangi perlawanan pertama kamu di gelanggang rumput.
“Ini kerana jika tidak musim kamu di gelanggang ini boleh menjadi amat singkat,” katanya.
Dalam pada itu, Tsonga berkata, dia tidak sabar untuk menentang Federer malah menjangkakan saingan tersebut bakal menjadi lebih istimewa buat mereka berdua.
“Saya gembira dapat menang kerana Benoit pemain yang amat berbahaya.
“Bagi perlawanan seterusnya saya jangka perlawanan tersebut bakal berlangsung sukar untuk mendominasi malah kamu tidak boleh elak memikirkan bahawa perlawanan boleh berubah pada bila-bila masa,” kata Tsonga. – AFP











