SEBERANG PERAI – Seramai empat pelesit rempit ditahan polis dalam satu operasi di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini awal pagi tadi.
Menerusi Op Samseng Jalanan kira-kira pukul 2.45 pagi itu, mereka yang ditahan ialah lelaki berusia 17 hingga 25 tahun selepas didapati menunggang secara melulu dan berbahaya di atas lebuh raya itu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya mendapati keempat-empat mereka membuat pelbagai aksi berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain dengan menduga kelajuan motosikal sambil melakukan aksi zig-zag dan menundukkan kepala.
“Aksi itu dilakukan bermula dari Plaza Tol Bagan Ajam menghala ke lampu isyarat Jalan Paku Lima dan berpatah semula ke arah Plaza Tol Bagan Ajam menuju ke lampu isyarat Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) sebelum membuat pusingan semula ke Plaza Tol Bagan Ajam.
“Mereka kemudiannya ditahan ketika berhenti di kawasan rehat dan rawat (RnR) Bagan Ajam, Butterworth,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.
Dalam pada itu, Noorzainy berkata, siasatan pihaknya mendapati keempat-empat mereka yang ditahan ialah bekerja sebagai kelindan lori, pencacah tatu, operator kilang dan pembantu kedai.
“Polis turut mengeluarkan beberapa saman terhadap mereka, antaranya ialah tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, tiada cermin sisi, tiada nombor plat hadapan dan melakukan ubah suai motosikal,” katanya lagi.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











