KUALA LUMPUR – Pemain Kelab Bola Sepak Felda United (FUFC) melahirkan rasa gembira dan syukur kerana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberikan Bantuan Khas Hari Raya Aidifitri untuk peneroka Felda.
Presiden FUFC, Anuar Malek berkata, pemain lega kerana bantuan tersebut dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh ibu bapa mereka.
“Pemberian Bantuan Khas Hari Raya Aidifitri berjumlah RM300 setiap orang kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara membantu mengurangkan bebanan warga Felda terutama selepas kejatuhan harga sawit dan kemelut kewangan Felda.
“Walaupun bantuan tersebut berkurangan daripada tahun sebelum ini namun tetap membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh peneroka malah usaha kerajaan dapat mengangkat martabat peneroka serta menjamin kelestarian Felda,” katanya kepada Utusan Online.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda memberitahu, bantuan tersebut merupakan satu usaha yang baik setelah pembentangan kertas putih mengenai rancangan pemulihan Felda bernilai RM6.23 bilion.
“Semua pemain pasukan FUFC iaitu daripada Piala Super, Piala Presiden, Piala Belia, akademi bawah 17 dan akademi bawah 14 gembira kerana ibu dan ayah mereka mendapat wang raya.
“Saya yang juga anak peneroka Felda dari Sungai Kelamah Gemas, Negeri Sembilan mewakili warga Felda mengucapkan ribuan terima kasih warga kepada Perdana Menteri dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi khususnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana mengambil berat mengenai masalah peneroka.
“Terima kasih memberikan duit raya kerana peneroka amat memerlukannya terutama setelah kejatuhan harga sawit,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE











