NILAI – Dua pasangan suami isteri dipercayai pengedar dadah di daerah ini diberkas dalam dua operasi khas berasingan di dua buah lokasi di sini pada 29 dan 30 Mei lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Pang Jin Lai berkata, tangkapan pertama melibatkan sepasang suami isteri masing-masing berusia 38 dan 32 tahun.
Menurut beliau, pasangan suami isteri itu ditahan semasa sedang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC di hadapan rumah mereka di Taman Bakawali di sini kira-kira pukul 3 petang.
“Suspek lelaki cuba melarikan diri, tetapi berjaya ditangkap. Pemeriksaan keatas beg silang dalam raga dan beg tangan dalam kotak belakang motosikal itu menemui kira-kira 58.01 gram dadah dipercayai jenis syabu bernilai RM9,000.
“Ujian saringan air kencing keatas kedua-dua mereka didapati positif meth dan kedua-dua suspek memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Jin Lai berkata, dalam operasi khas kedua polis memberkas seorang lelaki berusia 29 tahun dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi di tempat letak kereta Kota Seriemas Golf dan Country Club dekat sini kira-kira pukul 3 petang.
Kata beliau, pemeriksaan keatas kereta itu menemui kira-kira 195 gram dadah dipercayai heroin dan polis seterusnya memeriksa rumah suspek di Setia Ecohill, Semenyih, Selangor.
Tambah beliau, pemeriksaan di rumah itu menemui kira-kira 197 gram dadah dipercayai heroin dan polis bertindak menahan isteri suspek berusia 31 tahun yang berada di rumah berkenaan.
Jelas beliau, nilai dadah yang dirampas daripada pasangan suami isteri itu bernilai kira-kira RM16,000 dan ujian saringan air kencing keatas mereka didapati negatif penyalahgunaan dadah.
“Kedua-dua suspek tiada rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah atau dadah,” katanya.
Jin Lai berkata, keempat-empat suspek yang diberkas itu sedang ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya. – K! ONLINE











