SUNGAI PETANI – Tindakan tiga lelaki mencuri 400 ekor ayam mentah di sebuah premis di Pasar Taman Kempas di sini mengundang padah apabila dua daripada mereka ditahan polis semalam.
Kedua-dua suspek berusia 21 dan 26 tahun itu ditahan di sebuah kedai memproses ayam di Guar Chempedak dekat sini kira-kira pukul 6.30 pagi.
Mereka ditahan ketika sedang menyusun ayam yang dicuri di atas meja untuk dijual kepada pelanggan.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan kegiatan jahat tiga suspek yang memakai penutup muka mengalihkan ayam mentah dari tong simpanan ais ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda viral di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, peniaga menyedari kejadian kira-kira pukul 4 pagi semalam selepas mendapati premisnya dalam keadaan gelap sedangkan dia menghidupkan lampu sebelum menutup kedainya itu.
“Peniaga kemudian membuat laporan polis selepas mendapati kira-kira 400 ekor ayam mentah di kedainya hilang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, semakan CCTV mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda berhenti di hadapan kedai sebelum tiga lelaki bertopeng mencuri ayam kira-kira pukul 2.58 pagi.
Adzli berkata, ketika tangkapan dilakukan kenderaan yang disyaki digunakan suspek semasa mencuri ayam mentah itu berada bersebelahan kedai memproses ayam berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati sebanyak 30 ekor ayam mentah berada di atas meja kedai manakala 15 ekor lagi berada di bahagian belakang kenderaan.
“Sebanyak 355 ekor ayam berada di dalam dua buah tong ais berwarna kuning di kedai sama,” ujarnya.
Menurut Adzli, kedua-dua lelaki terbabit mengaku semua ayam tersebut dicuri dari sebuah pasar di Taman Kempas bersama seorang lagi rakan mereka yang masih bebas.
“Salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan menceroboh,” katanya.
Tambahnya, polis sedang memburu seorang lagi rakan mereka yang terlibat dalam kes kecurian ayam itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











