KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira dua juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya kendaliannya pada setiap hari puncak sempena Hari Raya Aidilfitri.
Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding 1.7 juta pada hari-hari biasa.
Ketua Pegawai Operasi (COO) PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi memaklumkan, pihaknya telah membuat pelbagai persediaan dari segi operasi dan strategi pengagihan trafik dalam usaha membantu pelanggan bergerak dengan selamat dan selesa.
“Seperti kebiasaan pada setiap musim perayaan, PLUS turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk membantu pelanggan merancang perjalanan balik kampung dan balik kota masing-masing.
“Bagi perjalanan balik kampung di antara 30 Mei hingga 10 Jun ini, pengguna yang bergerak ke destinasi paling jauh dari Lembah Klang seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor disarankan memasuki lebuh raya sebelum pukul 10 pagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.
Tambah Zakaria, manakala, pengguna yang menghala ke lokasi berdekatan seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor boleh memasuki lebuh raya selepas pukul 10 pagi. – UTUSAN ONLINE











