KUALA TERENGGANU – Jambatan angkat atau drawbridge yang kini ditutup sementara untuk penambahbaikan dijangka dibuka semula kepada orang ramai pada 1 Ogos depan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, ketika ini kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur sedang giat dijalankan termasuk membabitkan pagar, kawasan parkir, laluan basikal dan beberapa aspek lain.
Katanya, mercu tanda ikonik itu bakal diserahkan kepada kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Terengganu Incorporated Properties (TIP) selepas mendapat kelulusan akhir pada hujung bulan ini.
“Drawbridge dijangka dibuka untuk kegunaan orang ramai mulai 1 Ogos depan dan kita harap jambatan ini dapat memberi keselesaan kepada pengguna terutama untuk ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).
“Hari ini kita mengadakan perbincangan dengan pelbagai jabatan bagi menambah baik beberapa perkara seperti meninggikan pagar di bahagian tempat duduk di kawasan rehat di samping membuat papan iklan dan memperincikan tentang soal hakisan ombak yang dibimbangi berlaku di sepanjang laluan masuk ke jambatan pada musim tengkujuh nanti,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas melihat perkembangan kerja-kerja penambahbaikan jambatan itu hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak.
Jambatan angkat itu ditutup semula pada 17 Jun lalu selepas dibuka untuk tempoh percubaan selama dua minggu dari 2 hingga 16 Jun.
Jambatan yang menelan belanja RM248 juta sepanjang 638 meter dan ketinggian 12.5 meter dari aras laut itu membolehkan pengguna menjimatkan masa perjalanan tidak sampai 10 minit dari Seberang Takir, Kuala Nerus ke pusat bandar raya.
Sementara itu, Mamad berkata, langkah meninggikan pagar dan memasang papan iklan adalah bagi mengurangkan risiko yang membahayakan keselamatan orang ramai.
“Memandangkan orang ramai teruja melihat keindahan drawbridge dan mahu berhenti seketika bagi mengambil gambar maka kita mencadangkan disediakan kawasan parkir manakala bagi laluan basikal pula kita dapati agak rumit untuk disediakan atas faktor laluan yang terhad.
“Fasa kedua projek pembangunan ini membabitkan laluan dari bulatan ke LTSM dan ketika ini kerajaan negeri dalam proses perbincangan dengan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi pengambilalihan tanah dan rekaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











