Drawbridge berjaya kurangkan kesesakan di Jambatan Sultan Mahmud - Utusan Malaysia

Drawbridge berjaya kurangkan kesesakan di Jambatan Sultan Mahmud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 10 Jun – Jambatan angkat atau drawbridge yang mula dibuka kepada kenderaan untuk tempoh percubaan pada 2 Jun lalu berjaya menyelesaikan masalah kesesakan yang lazimnya berlaku di Jambatan Sultan Mahmud setiap kali sambutan Aidilfitri.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kesan ketara penyuraian trafik jelas dilihat apabila laluan itu tidak lagi sesak pada waktu puncak seperti sebelumnya.

“Perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) melalui Jambatan Sultan Mahmud menjadi lebih lancar dan selesa. Ternyata dalam tempoh percubaan ini drawbridge berjaya menyelesaikan masalah kesesakan di Jambatan Sultan Mahmud pada waktu puncak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Insya Allah isu ketinggalan kapal terbang kerana kesesakan di Jambatan Sultan Mahmud telah berjaya diselesaikan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Sebagaimana dijadual jambatan angkat itu mula dibuka kepada kenderaan tepat pukul 7 pagi untuk tempoh percubaan sehingga 17 Jun ini.

Jambatan yang menelan belanja RM248 juta sepanjang 638 meter dan ketinggian 12.5 meter dari aras laut itu membolehkan pengguna menjimatkan masa perjalanan tidak sampai 10 minit dari Seberang Takir, Kuala Nerus ke pusat bandar raya.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal turut berkongsi peristiwa menarik di hari pembukaan jambatan angkat itu termasuk gelagat pengguna yang sanggup menunggu seawal pukul 4 pagi semata-mata untuk direkodkan sebagai orang pertama menggunakan kemudahan tersebut.

“Lebih menarik lagi kebanyakan kenderaan dari Kuala Terengganu menuju ke Seberang Takir akan membuat pusingan U untuk naik semula ke jambatan menuju ke Kuala Terengganu kerana terlalu ghairah dengan keunikan drawbridge.

“Walaupun terdapat komen negatif mengenai drawbridge namun komen yang positif dan membina telah mengatasinya jadi, suka saya nasihatkan pengguna agar sentiasa patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak diingini. Gunalah jambatan yang dalam tempoh percubaan ini dengan penuh kesabaran, berhemah dan berhati-hati,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini