LONDON – Seorang wanita mendakwa, orang ramai kerap salah sangka dia mabuk disebabkan sering kelihatan mengantuk dan tertidur sehingga 16 kali sehari, lapor akhbar Daily Mail.
Belle Hutt, 24, dari Oxford disahkan menghidap narkolepsi teruk pada usia 17 tahun selepas mendapat satu suntikan vaksin selesema ketika usia 14 tahun.
Penyakit itu menyebabkan rasa mengantuk, paralisis tidur, halusinasi dan kadangkala hilang kawalan otot badan. Ia berpunca daripada otak kekurangan bahan kimia dikenali sebagai orexin yang mengawal tahap kesedaran minda dan badan.
Situasi itu menyebabkan dia sering takut untuk tidur kerana tidak dapat membezakan antara realiti dan igauan tidur. Paralisis tidur menyebabkan minda Hutt sedar sepenuhnya tetapi badannya tidak boleh bergerak.
Bukan sahaja tertidur dalam kelas, Hutt juga tidak dapat bekerja, memandu mahupun bercinta kerana berulang kali tertidur ketika keluar bersama kenalan lelaki.
“Saya sering dituduh mabuk di tempat awam malah seorang wanita pernah bertanya sama ada saya sudah mula minum arak dari waktu pagi. Doktor saya sendiri sering bertanya berapa banyak alkohol saya minum sebelum berjumpa dengannya,” kata Hutt.
“Kebanyakan masa saya tidak berani keluar bersendirian. Ianya sukar untuk menjelaskan situasi yang saya hadapi kerana saya memang kedengaran seperti seorang pemabuk,” tambahnya.
Selepas beberapa tahun cuba menyesuaikan diri dengan penyakit itu, Hutt yang kini tinggal di Amsterdam, Belanda memaklumkan dia sudah mampu mengawal badannya melalui latihan senaman bagi memastikan badannya sentiasa kuat bertenaga. – Agensi











